Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Khamis, Mei 20, 2010

Entri 38 : China Town Kuala Terengganu


Apa itu China Town? Bagi rakyat Negeri Terengganu, pasti sudah tahu mengenai kewujudan China Town atau dalam bahasa mudahnya sering kali dipanggil Kampung China. Penulis sendiri sudah banyak kali melalui jalan di kawasan China Town ini.

Kedudukannya yang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu sering kali mencuri perhatian ramai pelancong dari luar yang pernah melalui jalan di sini. Ini kerana, struktur deretan bangunan kedai yang bersejarah dan unik sebegini memang susah untuk dijumpai di mana-mana tempat lain di Negeri Terengganu kan?

Cantik, menarik dan tertarik menggamit hati pelancong dari luar Negeri Terengganu untuk melawat tempat bersejarah ini. Anda bila lagi agaknya yee?

China Town memang amat unik dan bersejarah bagi kaum China khususnya. Menurut sejarah dahulu, China Town merupakan tinggalan bangunan tua pada zaman peperangan lagi di Jalan Kampung China. Bangunan-bangunan lama ini dipercayai sebagai tempat tinggal bagi sebilangan kaum China yang tiba di Semenanjung Malaysia pada abad ke-19 lagi.

Sebahagian besar rumah yang dibina adalah berasaskan bata atau struktur konkrit di tingkat bawah manakala di tingkat atas pula, lantainya diperbuat daripada kayu. Jika anda berpeluang datang ke China Town, anda akan dapati beberapa bangunan kedai di sini masih lagi utuh dan teguh ukiran kayunya yang terdapat pada pintu dan juga jendela. Manakala sebahagian lagi bangunan kedainya sudah diubahsuai dan dikemaskini menjadi bangunan konkrit yang moden.

Bangunan kedai di sini menempatkan di antaranya kedai kopi tempatan, pejabat-pejabat untuk beberapa pembekal utama, pengusaha batik, restoran dan juga kedai-kedai cenderamata. Ada juga bangunan di sini yang dijadikan tempat tinggal bagi kaun China. Yang menariknya juga, terdapat beberapa bangunan kedai yang turut dibeli oleh orang luar untuk diubahsuai dan dijadikan sebagai tempat perniagaan mereka.

A'ah..jika anda ingin tahu lagi, keunikan yang paling terserlah di China Town adalah bentuk ukiran atap panjang yang berwarna-warni yang terdapat pada pintu gerbang di sini. Sudah ramai pelancong dari luar yang telah berpeluang menjadikan keunikan atap ini sebagai tempat memotret yang unik dan indah di dalam kamera digital masing-masing terutamanya di malam hari sebelum matahari menghilang dari langit.


Inilah keunikan atapnya yang berwarna-warni. Memang cukup cantik jika dijadikan sebagai tempat kenang-kenangan anda di sini kan? haha.

Penulis juga cukup tertarik dengan kewujudan sebuah Kuil China Ho Ann Kiong yang berwarna merah turut berdiri megah pada satu sudut di China Town. Kebanyakan kaum China tempatan di sini amat percaya bahawa 'Dewi' kuil ini selalu memberikan mereka 'bimbingan' dan 'perlindungan' apabila mereka ditimpa kesusahan. Disebabkan itu, kuil ini tidak putus-putus dikunjungi kaum China di sekitar Negeri Terengganu untuk menebus setiap kesalahan mereka.

Kuil Ho Ann Kiong di China Town. Kuil ini menjadi tempat tumpuan kaum China di sekitarnya untuk beramal ibadat mengikut cara mereka.

Anda teruja ingin merakamkan saat-saat indah di sini?

Saya mahu cetak entri ini.

0 komen sahaja:

Catat Komen