Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Sabtu, Julai 31, 2010

Entri 80 : Noor Arfa Batik



Pengasas Noor Arfa Batik Sdn. Bhd, Encik Wan Mohamed Ariffin Bin Wan Long, 50 tahun telah berjinak dengan batik semasa menjadi pembantu makmal di Syarikat Kraftangan Malaysia sejak dari tahun 1970-an lagi.

Dengan sedikit pengalaman dan minatnya yang mendalam di dalam bidang perniagaan, beliau mengambil keputusan nekad untuk meletak jawatan dan terus menceburi perniagaan batik ini.

“Di sana (Syarikat Kraftangan Malaysia), saya telah mempelajari selok-belok membuat batik dan dalam tahun 1980 saya memulakan perniagaan batik di Kuala Terengganu.”

Beliau memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan di rumah dengan bermodalkan simpanan RM1,000 sahaja dan pinjaman Mara sebanyak RM5,000 bersama isterinya, Puan Noor Hijerah Hanafiah.

Akhirnya selepas 26 tahun bertungkus-lumus, Encik Wan Mohamed Ariffin kini mampu memiliki sebuah kilang batik di Kawasan Perindustrian Cendering, Kuala Terengganu dengan dibantu oleh 200 orang pekerja dan telah mengeluarkan 150 produk batik Terengganu.


“Batik berasal dari Terengganu, jadi adalah lebih mudah sekiranya industri kami bermula dari sana. Selain daripada mempunyai ramai tenaga kerja yang mahir, barang-barang untuk membuat batik seperti kain dan pencelup juga banyak dan lebih mudah diperolehi di sana.”

kata Pengasas Noor Arfa Batik, Encik Wan Mohamed Ariffin Wan Long.


“Kami banyak menggunakan pelukis tempatan yang boleh melukis secara terus ke atas kain, dan ini memberikan identiti tersendiri kepada keluaran batik itu.” kata beliau lagi.



Produk Noor Arfa batik dihasilkan di dalam bentuk lukisan tangan yang menggunakan canting serta cetakan yang menghasilkan kain fabrik, pakaian lelaki dan perempuan serta cenderamata.
Ini menjadikan produk batik Noor Arfa begitu unik dari segi corak, rekaan dan pembuatannya.


"Oiit Cik Mah, jom kita gi Ganu. Aku nak borong kain batik kat Noor Arfa Batik laa. Raya dekat doh nie."



Jika anda ingin datang ke Negeri Terengganu dan ingin mengenali Noor Arfa Batik Sdn. Bhd, boleh datang sendiri ke :

Noor Arfa Batik Sdn. Bhd,
Lot 1048-K,
Kawasan Perindustrian Chendering,
21080 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

dan anda juga boleh hubungi di nombor berikut :

09-617 5700 dan 09-617 5701


Jumaat, Julai 23, 2010

Entri 79 : Masjid Hadhari


Wah. Cantik sungguh Masjid Hadhari. Tersergam besar indah dapat dilihat di tepi jalan besar menghala ke daerah Besut, Negeri Terengganu. Semasa kunjungan penulis dan keluarga ke daerah Besut, kami berkesempatan singgah sebentar di sini. Itu pun hanya berada di luar masjid. Apabila kaki sudah melangkah ke tempat yang cantik begini, tangan penulis terus mencapai kamera.

Snap! Satu. Dua. Tiga



Kemudahan-kemudahan utama turut disediakan di Masjid Hadhari - di antaranya adalah pondok rehat, tandas, bilik persalinan, bilik mandi, susur jalan, tempat meletak kenderaan bertingkat dan juga beberapa kemudahan lain lagi.


Berkunjung ke Negeri Terengganu,
Kemaman, Kuala Terengganu,
Besut dan Setiu,
Dungun dan Marang tunggu!
Semua daerah ingin tahu.

Sabtu, Julai 17, 2010

Entri 78 : Air Terjun Sekayu



Hutan Lipur Sekayu yang juga dikenali dengan nama Air Terjun Sekayu terletak di daerah Kuala Berang. Jika anda sudah pernah sampai ke Kawasan Perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, anda pasti tidak akan rugi jika anda turut berpeluang untuk singgah sebentar ke Air Terjun Sekayu. Ini kerana jarak kedua-dua kawasan perkelahan ini hanya lebih kurang 5 kilometer sahaja.





Sungguh! Memang seronok jika anda berpeluang untuk datang ke sini, kerana Air Terjun Sekayu merupakan salah satu destinasi perkelahan yang amat popular di Negeri Terengganu Darul Iman. Di sini, kemudahan-kemudahan seperti tandas dan bilik mandi awam, rumah dan pondok rehat juga disediakan untuk anda sekeluarga.

Tarikan utama di Air Terjun Sekayu ini sudah tentu terletak pada keunikan semula jadi di Taman Pertanian Hutan Lipur Sekayu. Amat cantik dan mengagumkan bagi pendapat peribadi penulis sendiri.



Sudah tidak sabar hendak bermain air ye? Apa lagi, jom singgah ke Air Terjun Sekayu.

Khamis, Julai 08, 2010

Entri 77 : GBBS


Terpegun sebentar penulis apabila terpandangkan gerai ini. Siap dengan perkataan GBBS lagi. Terfikir juga penulis, apa itu GBBS. Oh ya, rupa-rupanya ia adalah singkatan daripada nama Gerai Buah-Buahan Segar. Begitu bermakna maksud GBBS ini ye.

Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS)
yang terletak bersebelahan dengan Pasar Bandar Marang ini sering dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan yang datang daripada dalam daerah dan juga luar daerah Marang. Kebanyakkan daripada pelanggan yang datang ke sini amat berpuas hati dengan kualiti buah-buahan tempatan yang dijual dan mengatakan bahawa buah-buahan yang terdapat di GBBS semuanya amat segar dan menepati kehendak pelanggan.



Harga yang ditawarkan di GBBS ini juga berpatutan dan tidak banyak berbeza berbanding harga buah-buahan yang dijual di tempat lain. Jika anda ingin mencari buah-buahan tempatan kegemaran anda, jangan lupa singgah sahaja ke GBBS. InsyaAllah anda pasti akan seronok berbelanja di sini.

Entri 76 : Pasar Bandar Marang



Pasar Besar Dungun sudah anda lawati,

Apa kata anda datang ke sini,
Pasar Bandar Marang nama diberi,

Apa yang dihajati ada di sini.


Alang-alang sudah sampai di daerah Marang, anda patut singgah sebentar di Pasar Bandar Marang. Tidak mahu singgah sebentar? Ha'ah. Singgah lama sedikit pun tidak mengapa. Hehe. Ini kerana terdapat beberapa tempat menarik lain lagi yang juga terletak amat hampir dengan Pasar Bandar Marang.


Pasar Bandar Marang terletak di pedalaman daerah Marang. Anda harus masuk ke kawasan pedalaman menghala ke arah pesisir Pantai Marang dahulu sebelum berjumpa dengan pasar ini. Kedudukannya yang juga terletak di pesisir pantai ini dilihat sama sahaja seperti keadaan di Pasar Besar Dungun yang juga terletak di pesisir Sungai Dungun.

Permandangan dari arah belakang deretan kedai-kedai makan di Pasar Bandar Marang.

Anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesies ikan-ikan yang terdapat di sini? Boleh berkunjung ke Pejabat Perikanan Daerah Marang.

Di sekitar Pasar Bandar Marang - terdapat kemudahan kedai makan, Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), pondok rehat, tempat meletak kenderaan, Pejabat Perikanan daerah Marang dan juga Taman Rekreasi Awam Bandar Marang yang begitu cantik menghadap pesisir Pantai Marang ini.

Kemudahan-kemudahan yang telah disediakan di sini sentiasa menarik perhatian pelancong-pelancong dari luar dan dalam daerah Marang untuk datang ke sini lagi. Iye lah kan, sambil berbelanja sakan membeli barang keperluan dan buah tangan untuk keluarga tersayang, anda juga boleh berjalan-jalan mengambil angin di pesisir pantai yang begitu indah sekali. Hehe.

Rabu, Julai 07, 2010

Entri 75 : Stesen Bas MPKT


Sudah namanya Stesen Bas MPKT - sudah tentu di sini menjadi pusat tumpuan utama akan ditujui jika anda mahu pulang ke kampung halaman dan juga destinasi pilihan masing-masing.

Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu atau lebih ringkas dikenali dengan nama Stesen Bas MPKT merupakan stesen bas utama di bandar Kuala Terengganu selain daripada Stesen Bas Tanjung di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Pada setiap hujung minggu, Stesen Bas MPKT ini sering dipenuhi oleh pengunjung-pengunjung dari luar daerah yang datang ke bandar Kuala Terengganu.

Penulis sendiri sudah acap kali datang ke sini. Bukan sekadar untuk menaiki bus SP Bumi Kuala Terengganu-Kemaman pilihan penulis, tetapi penulis datang ke sini kadang-kadang mahu membeli barang keperluan diri sendiri yang tidak pernah cukup bagi seorang wanita. Hehe.


Jika anda ingin tahu, di tingkat atas Stesen bas MPKT ini terdapat banyak deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis dan saiz tudung, kedai pakaian (kain pasang, baju blaus, t-shirt dan pakaian kanak-kanak), kedai aksesori dan barangan perkahwinan, kedai barang kemas, dan juga kedai jahitan. Ha'ah, boleh rambang mata anda jika datang membeli tudung di sini.

Kedai emas pilihan penulis ialah Kedai Tukang Emas Encik Ishaq. Anda boleh hubungi beliau di nombor 012 - 963 7343.

Berminat untuk membeli tudung? Anda boleh hubungi :

Hajjah Wook Binti Saad @ Said

Nombor telefon : 09-623 1164
dan
012-921 1164


Boleh dikatakan di sini menjadi tempat wajib bagi golongan wanita di Negeri Terengganu Darul Iman untuk memilih pakaian dan tudung yang mereka berkenan. Mungkin kerana disebabkan, harga yang ditawarkan di sini amat berbaloi dan cukup murah berbanding di tempat lain.

Di tingkat atas menempatkan deretan kedai-kedai pakaian dan tudung. Di tingkat bawah terdapat kemudahan tandas dan bilik mandi awam. Kedua-dua nya dikenakan bayaran. Kedai runcit dan kedai makan turut disediakan di Stesen bas MPKT.

Tatkala menjelang musim perayaan setiap tahun, suasana di Stesen Bas MPKT ini akan menjadi bertambah sesak dengan kehadiran pengunjung yang ingin memeriahkan Negeri Terengganu.

Entri 74 : Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah


Pusat Santuari Penyu Ma' Daerah yang terletak di Pantai Ma' Daerah, daerah Kemaman diwujudkan untuk memulihara kawasan pendaratan penyu. Kawasan ini telah diwartakan dan dikawal secara berjadual untuk menjamin keselamatan penyu di Negeri Terengganu.

Di sini anda boleh melihat sendiri bagaimana penyu-penyu ini bertelur apabila tiba musimnya. Tetapi awas anda perlu bersabar kerana kebanyakkan penyu pasti tidak suka diganggu kerana spesies ini amat pemalu. hehe

Pusat Santuari Penyu Ma' Daerah ini berfungsi untuk melaksanakan program-program publisiti, menjalankan penyelidikan, penetasan dan pengurusan penyu di Negeri Terengganu.

Selain di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, satu lagi tempat popular untuk melihat spesies penyu yang semakin pupus ini adalah di Pusat Penyu Dan Ekosistem Marin, Rantau Abang, daerah Dungun.

Di negeri-negeri lain juga terdapat pusat-pusat penerangan dan pengurusan penyu yang dibina dan masih beroperasi sehingga kini yang terletak di Negeri Melaka, Perak, Pahang dan juga Pulau-Pinang.

"......kita tengok penyu telur. Na na na na na ganu kita!"

Selasa, Julai 06, 2010

Entri 73 : Taman Persiaran Bandar Chukai


Tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan Taman Persiaran Bandar Chukai yang terletak di tengah-tengah bandar Chukai, daerah Kemaman. Taman ini dahulunya sering menjadi tumpuan orang ramai datang ke sini untuk bersiar-siar menghirup udara segar di pesisir Sungai Kemaman. Disebabkan pembangunan yang semakin pesat di daerah Kemaman, Taman Persiaran Bandar Chukai sudah menjadi semakin sepi tanpa kehadiran pengunjung.


Walaupun begitu, keindahan semula jadi yang ada di taman ini masih tetap terpelihara. Kedudukan Taman Persiaran Bandar Chukai yang terletak di tepi Stesen Bas Bandar Chukai ini menjadi faktor utama taman ini sentiasa dijaga rapi.

Stesen Bas Bandar Chukai jelas kelihatan dari Taman Persiaran Bandar Chukai.


Pintu masuk utama di Taman Persiaran Bandar Chukai ini sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda untuk berkunjung ke sini.

Iye lah kan, jika sudah terlalu lama berada di dalam bas yang berhawa dingin, pasti anda juga teringin menghirup udara segar di taman persiaran yang cantik ini kan. Cantik sangat ke taman ini? Anda lihat sendiri gambar-gambar yang seterusnya. Ok





Permandangan menghadap Sungai Kemaman dapat dilihat jika anda berada di Taman Persiaran Bandar Chukai. Memang cantik sekali. Subhanallah


Ha. Jika sudah namanya berada di kawasan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kemaman, sudah tentu ada undang-undangnya di Taman Persiaran Bandar Chukai ini. Anda boleh baca di bawah ini.


Isnin, Julai 05, 2010

Entri 72 : Lemang Kijal


Singgah sebentar di mukim Kijal, daerah Kemaman, penulis tidak akan lupa untuk singgah di warung lemang Mak Ngah Minah. Sudah hampir 20 tahun beliau mengusahakan perniagaan lemang di sini. Sejak 20 tahun yang lepas juga beliau tidak pernah jemu melayan kerenah setiap pelanggannya yang setia berkunjung ke warung lemang kijal ini.

Anak Mak Ngah Minah, iaitu Mek Zah masih lagi sihat bertenaga meneruskan perniagaan lemang kijal ini.

Lemang merupakan satu lagi makanan warisan turun-temurun yang ada di Negeri Terengganu Darul Iman. Keenakan lemang ini terletak pada isi pulutnya yang dihasilkan menggunakan beras pulut yang dicampur dengan santan kelapa dan garam secukup rasa.


Kebiasaannya sebatang buluh yang bersaiz kecil dan sederhana akan digunakan untuk diletakkan hasil campuran tiga bahan tadi yang telah sebati. Buluh yang telah siap diisi ini kemudiannya akan dibakar di atas bara api sehingga betul-betul masak dan menghasilkan lemang yang pasti akan memikat hati anda. Hehe

Harga yang biasa ditawarkan untuk pelanggan-pelanggan di warung lemang kijal Mak Ngah Minah ini adalah sekitar RM4.00 dan RM5.00 sahaja untuk sebatang lemang mengikut saiz yang ada. Cukup berbaloi harga dikenakan ini dengan rasa lemangnya. Sungguh! Penulis memang sangat setuju dengan keenakan lemang yang dijual di sini. Pasti anda tidak akan menyesal jika berpeluang singgah membeli lemang di Kijal.



Entri 71 : Rumah Terengganu


Rumah moden yang berkonsepkan tradisional Negeri Terengganu
ini dapat dilihat di Kampung Kubang Kurus, daerah Kemaman. Kampung Kubang Kurus ini terletak bersebelahan dengan Taman Chukai Indah yang merupakan kediaman tetap keluarga penulis sekarang ini.

Alang-alang terpandangkan keunikannya yang amat terserlah cantik ini, penulis tidak melepaskan peluang mengambil gambar-gambar ini untuk tatapan anda yang masih tercari-cari apa yang menarik di Negeri Terengganu Darul Iman. See di bawah ini.







Sudah puas melihat gambar rumah unik ini? Jika anda ingin merakamkan sendiri keunikan reka bentuk rumah mewah ini, anda boleh datang berkunjung ke daerah Kemaman. Hehe

Entri 70 : Taman Rekreasi Bukit Puteri


Tidak pernah terdetik di hati penulis untuk sampai ke Bukit Besi. Inilah kali pertama penulis menjejakkan kaki ke sini. Tatkala kereta kancil abah penulis melangkah masuk ke pintu gerbang utama taman rekreasi ini, secara spontan penulis berasa kagum yang teramat sangat. Iye lah kan, di dalam Bukit Besi pun, rupa-rupanya masih tersimpan kukuh khazanah yang begitu berharga. hehe


Inilah dia tempat untuk anda berekreasi di daerah Dungun - iaitu Taman Rekreasi Bukit Puteri Bukit Besi. Wah cukup panjang sekali nama yang diberi. Sama panjang jaraknya dengan pintu gerbang yang setia menyambut kedatangan pengunjung-pengunjung yang datang ke sini.

Di sepanjang jalan melangkah masuk ke Taman Rekreasi Bukit Puteri Bukit Besi. Ha. tengok itu, siap ada kelab golf lagi. Macam seronok sahaja tempat ini kan?

Jika perut terasa lapar, kemudahan kedai makan juga ada disediakan.

Oh ya, bukan ini yang menjadi fokus utama di Taman Rekreasi Bukit Puteri. Ini hanyalah kemudahan sampingan yang terdapat di sini.

Menariknya di sini adalah perkhidmatan rekreasi air yang disediakan untuk anda sebagai pengunjung. Mahu lihat sendiri jadual perkhidmatan air ini?


Klik untuk gambar yang lebih jelas.

Perkhidmatan air yang disediakan adalah "paddle boat" dan kayak sahaja. Kadar bayaran yang dikenakan telah ditetapkan mengikut jangka masa penggunaan perkhidmatan air ini.

Untuk menggunakan perkhidmatan air ini juga, anda harus menaikinya di jeti yang telah siap khusus untuk anda.


Ini jetinya.