Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Selasa, Mei 04, 2010

Entri 21 : Keropok Lekor


Adakah anda sudah mencuba menu nasi dagang yang telah saya promosikan kepada anda pada entri yang sebelum ini? Jika sudah, anda memang berminat untuk menjadi sebahagian rakyat Negeri Terengganu. Jika belum, tidak mengapa. Selepas ini, cepat-cepat lah mencuba sebelum anda kempunan di kemudian hari. haha..

Penulis mahu anda turut mencuba satu lagi makanan yang teramat popular dan tidak asing lagi di Negeri Terengganu iaitu Keropok Lekor.

Inilah di antara Kedai Keropok Lekor yang sempat penulis pergi semasa kunjungan bersama rakan-rakan di Kampung Losong pada kali lepas.

Keropok Lekor yang dipanggil Keropok Gonde atau pun Keropok Batang adalah sejenis makanan tradisional di pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di Negeri Terengganu yang memang cukup terkenal di kalangan rakyat tempatan dan juga pelancong dari luar.

Ingin tahu sejarah pembuatan keropok lekor? Jika anda ingin tahu, baca selanjutnya.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan laut dengan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji sahaja. Kesemua ramuan tersebut akan diuli dan digentel secara panjang bertali (panjang seperti tali), dan kemudiannya akan direbus di dalam periuk yang berisi air panas (direbus bersama air didih).

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan yang berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi. Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat daripada periuknya dan dicicah dengan air lada (sos cili).

Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Walau bagaimanapun, sekiranya keropok lekor hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat air batu (peti ais batu) bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Dan apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampur sedikit garam. Sekiranya tidak, keropok lekor akan berasa tawar.

Keropok lekor yang sudah direbus akan diangkat dan disejat. Permintaan pelanggan untuk keropok lekor yang dimakan segar sebegini juga amat menggalakkan.

Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan rasa keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji kebiasaannya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.

Keropok lekor yang telah digoreng selepas dipotong pendek. Rasa keropok lekor yang digoreng adalah lebih sedap berbanding keropok lekor yang dimakan segar. Harganya pula biasanya lebih mahal sedikit dari harga keropok lekor yang direbus sahaja.

Keropok lekor juga boleh diproses untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

Anda yang terasa ingin mencuba keenakan keropok lekor hasil tangan anak Terengganu sendiri, singgahlah ke Kampung Losong yang terkenal dengan pelbagai kedai menjual keropok lekor yang asli dan segar.

Jika tiada kesempatan ke sana, singgahlah juga ke Keropok Lekor 008 yang terletak di tepi jalan Pantai Peranginan Kelulut di daerah Marang.

Selain di Marang, Kedai Keropok Lekor Sukaramai yang terletak di Kampung Mengabang Lekar, Gong Badak juga turut menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan keropok lekor yang benar-benar menepati cita rasa anda sebagai pelanggan.

Tunggu apa lagi.

Jika bukan anda yang ingin merasa makanan tradisional asli yang hanya terdapat di Negeri Terengganu, siapa lagi kan?

Saya mahu cetak entri ini.

0 komen sahaja:

Catat Ulasan