Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!
Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan

Khamis, September 30, 2010

Entri 97 : Restoran Chilada Seafood


Hari sudah semakin gelap. Perut pula semakin terasa laparnya. Kaki masih lagi menekan pedal minyak kereta comel berwarna merah menyala sambil mata mencari-cari tempat makan yang menarik perhatian. Tatkala melalui simpang ke Hypermarket Sabasun, Kuala Terengganu, mata terus terpacak pada papan nama Restoran Chilada Seafood.

"Wah, nampak macam ok sangat restoran ini. Bersih, cantik, kemas dan menarik hati juga."

Oppsss.
Cerita di atas ini hanya cerita khayalan semata-mata. Jangan tiru gaya penulis, ok. Hehe


"Mari kita pakat gi serbu Restoran Chilada Seafood ramai-ramai, jom!"
Lalu bermonolog lah penulis di dalam hatinya.

Isnin, Ogos 23, 2010

Entri 84 : Restoran Warisan Nil


Ramadhan Al-Mubarak sudah memasuki hari ke-13. Pertama kali penulis dapat berbuka puasa beramai-ramai di restoran luar, Alhamdulillah kenyang yang teramat sangat. Kali ini, Restoran Warisan Nil menjadi pilihan kami untuk menjamu selera dan merasa suasana berbuka puasa di restoran berdekatan dengan kampus UniSZA.

Pintu gerbang Restoran Warisan Nil seolah-olah menyambut kedatangan kami ke sini dengan ramah mesra lagaknya. hehe

Dekorasi hiasan dan reka bentuk kedai yang juga tidak kurang hebatnya dengan cahaya lampu yang pelbagai merupakan salah satu aset penting untuk mencuri tumpuan pelanggan datang ke Restoran Warisan Nil. Iye lah kan, jika sudah alang-alang ingin pergi ke Pasar Batu Enam, apa kata anda singgah sebentar mengisi dahaga dan lapar anda di restoran yang tersergam indah bak singgahsana diraja ini. hehe


Anda ingin membuat tempahan sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba? Sila hubungi Encik Mustafa di talian 019-9366090.

Kedudukan Restoran Warisan Nil yang cukup strategik kerana terletak di tepi laluan utama menuju ke Pasar Batu Enam ini sentiasa menarik perhatian kebanyakkan pengunjung sekitar untuk menjejakkan kaki ke sini walaupun hanya sekali.

Restoran Warisan Nil sentiasa beroperasi mulai jam 12.00 tengah hari hingga jam 1.00 pagi pada setiap hari kecuali pada Bulan Ramadhan dan cuti-cuti umum sahaja.

Pelbagai menu masakan yang menarik disediakan untuk anda dapatkan di sini. A'ah..di antara menu kesukaan penulis dan rakan-rakan di sini adalah kerabu mangga istimewa. Rasanya yang amat sedap memenuhi citarasa kami yang suka akan rasanya yang masam-masam sedikit.

Menu kerabu mangga istimewa. Yummy!!

Disebabkan begitu asyik kami menjamu selera di Restoran Warisan Nil, penulis tidak dapat merakamkan beberapa lagi menu masakan lain yang kami telah makan di sini. Oh tidak mengapa, kerana senarai menu yang disediakan tetap ada untuk menggiurkan selera anda. hehe


Ahad, Ogos 08, 2010

Entri 82 : Restoran Montona Seafood


Di sepanjang perjalanan penulis kembali ke asrama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu, terdapat banyak pilihan kedai-kedai makan dan juga restoran-restoran makanan laut yang agak tersohor dengan kelazatan makanannya yang tersendiri.


Salah satu restoran makanan laut yang menjadi pilihan penulis untuk menjejakkan kaki adalah Restoran Montona Seafood yang terletak berhadapan dengan pagar kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Seberang Takir. Restoran ini sering menjadi pilihan kebanyakkan pelanggan-pelanggan untuk menjamu selera pada waktu petang hingga ke malam bersama keluarga tersayang.

Menu makanan yang tersedia di Restoran Montona Seafood Gong Badak.

Air limau nipis sejuk - RM1.40
Air laici sejuk - RM2.00

Menu yang penulis sempat rasa di sini - iaitu bihun rakna dengan harga RM4.50. Yummy!

Nasi goreng ikan masin.

Nasi putih dan tomyam campur.

Kunjungan terkini penulis dan rakan-rakan pada petang tadi kadangnya serasa masih tidak puas untuk bertandang lagi ke Restoran Montona Seafood lagi selepas ini.

Isnin, Julai 05, 2010

Entri 72 : Lemang Kijal


Singgah sebentar di mukim Kijal, daerah Kemaman, penulis tidak akan lupa untuk singgah di warung lemang Mak Ngah Minah. Sudah hampir 20 tahun beliau mengusahakan perniagaan lemang di sini. Sejak 20 tahun yang lepas juga beliau tidak pernah jemu melayan kerenah setiap pelanggannya yang setia berkunjung ke warung lemang kijal ini.

Anak Mak Ngah Minah, iaitu Mek Zah masih lagi sihat bertenaga meneruskan perniagaan lemang kijal ini.

Lemang merupakan satu lagi makanan warisan turun-temurun yang ada di Negeri Terengganu Darul Iman. Keenakan lemang ini terletak pada isi pulutnya yang dihasilkan menggunakan beras pulut yang dicampur dengan santan kelapa dan garam secukup rasa.


Kebiasaannya sebatang buluh yang bersaiz kecil dan sederhana akan digunakan untuk diletakkan hasil campuran tiga bahan tadi yang telah sebati. Buluh yang telah siap diisi ini kemudiannya akan dibakar di atas bara api sehingga betul-betul masak dan menghasilkan lemang yang pasti akan memikat hati anda. Hehe

Harga yang biasa ditawarkan untuk pelanggan-pelanggan di warung lemang kijal Mak Ngah Minah ini adalah sekitar RM4.00 dan RM5.00 sahaja untuk sebatang lemang mengikut saiz yang ada. Cukup berbaloi harga dikenakan ini dengan rasa lemangnya. Sungguh! Penulis memang sangat setuju dengan keenakan lemang yang dijual di sini. Pasti anda tidak akan menyesal jika berpeluang singgah membeli lemang di Kijal.



Selasa, Jun 22, 2010

Entri 62 : Satar


Banyak sungguh makanan tradisi di Negeri Terengganu, tetapi satar tetap menjadi pilihan utama di hati penulis. Selain daripada keropok lekor, bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan satar juga berasaskan adunan ikan-ikan segar. Ikan yang biasa digunakan adalah ikan selayang dan ikan kembung kerana kedua-dua ikan ini mempunyai banyak isi dan rasanya lebih sedap berbanding ikan-ikan lain.

Satar akan dibungkus di dalam daun kelapa muda sebelum dibakar sehingga isinya benar-benar masak dan boleh dimakan.

Proses membakar satar di atas pemanggang api. Satar-satar akan dicucuk secara memanjang seperti sate.

Warung Awie Satar dan Otok-Otok menjadi warung pilihan penulis dan keluarga untuk merasai satar dan otok-otok yang masih lagi segar dan panas. Tidak mahu otok-otok? Di sini juga ada menu lain yang disediakan untuk anda seperti keropok lekor, laksa penang, laksam, mee goreng, nasi dan air batu campur. Mee goreng di warung ini teramat sedap rasanya. Sungguh! penulis sudah merasainya sendiri. hehe

Cantik kain rentang di warung ini kan? Semangat oren yehh.

Di sinilah tempatnya satar-satar ini akan dibakar panas-panas.

Rabu, Jun 16, 2010

Entri 58 : Warung Lempeng Nyiur Meraga-Beris


Bukan mudah untuk mencari makanan tradisional seperti lempeng kelapa. Di negeri-negeri lain, penduduk di sana lebih kenal akan makanan bernama lempeng kelapa berbanding dengan lempeng nyiur. Di Negeri Terengganu Darul Iman, nama lempeng nyiur lebih sinonim digunakan di semua tempat. Nama lempeng nyiur ini juga lebih senang dikenali dan diingati jika anda berpeluang mencuba makanan istimewa ini.


Bagi penduduk sekitar daerah Kemaman yang sedia tahu mengenai kewujudan sebuah Warung Lempeng Nyiur Meraga-Beris di Jalan Kemaman-Kuala Terengganu, kebanyakkan daripada pelanggan yang pernah datang ke warung ini akan merasa ketagih dengan keenakan rasa lempeng nyiur di sini . Selepas kunjungan kali pertama, mereka (pelanggan) pasti tidak akan melepaskan peluang untuk datang lagi ke Warung Lempeng Nyiur Pak Cik Rohman yang terletak di mukim Kijal, daerah Kemaman ini.

Pemilik Warung Lempeng Nyiur Meraga Beris, Encik Rohman Bin Ismail membuka warung ini sejak 10 tahun yang lalu selepas mendapat ilham menjalankan perniagaan untuk mengenang makanan utama yang dimakan oleh ibu-bapa beliau.

Lempeng Nyiur yang diperbuat daripada tepung gandum dan kelapa menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang lemak, manis, berkrim dan disukai ramai semestinya. Bertambah enak lagi jika lempeng nyiur ini dimakan bersama dengan kuah kari berapi, cukup menyelerakan sekali. Boleh mengecurkan selera anda yang makin menggebu jika terpandangkan makanan ini yang memang sudah sedia putih menggebu. hehe


Untuk menghasilkan lempeng nyiur ini, anda perlukan bahan-bahan seperti :

1. 2 cawan kelapa parut
2. 1 cawan tepung gandum
3. sedikit garam
4. air secukupnya

Cara-cara membuatnya cukup mudah.

1. Satukan semua bahan-bahan di atas sehingga menjadi satu adunan tepung.
2. Apabila semua sudah sebati, panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak.
3. Ratakan adunan tepung pada kuali. Tepung ini akan melekat pada kuali selagi ia tidak masak dan belum garing sepenuhnya.
4. Tunggu sehingga kedua-dua belah garing.
5. Lempeng nyiur amat sedap jika dimakan bersama kuah kari ataupun hanya dicicah dengan gula.

Selamat menjamu selera di Warung Lempeng Nyiur Meraga-Beris.

Rabu, Jun 02, 2010

Entri 45 : Sarak Ikan


Sarak Ikan - Ini juga merupakan makanan tradisi di Negeri Terengganu. Rasanya memang sedap dan kaya dengan khasiat protein yang amat tinggi. Selain daripada diletakkan di dalam sarung ikan (seperti gambar di bawah), sarak ikan juga boleh diletakkan di dalam lada tomato yang bersaiz sederhana. Cara pembuatannya sama sahaja, yang membezakan hanya jenis sarung yang digunakan.

"Alhamdulillah...kenyangnya dapat makan sarak ikan tadi. Sedap sungguh...dah lama aku tak makan sarak ikan." berkata si A kepada si B pada suatu petang yang damai di satu perkampungan nelayan di Negeri Terengganu.

Kebiasaannya orang luar Negeri Terengganu ada juga menyebut makanan ini adalah "solok lada". Jangan keliru jika anda pernah mendengar panggilan nama yang sebegini, kerana kedua-duanya adalah merujuk kepada satu jenis makanan yang sama sahaja - iaitu sarak ikan. Makanan ini amat sedap jika dimakan begitu sahaja tanpa disertakan bersama dengan nasi putih. Tetapi penulis selalunya menjamah sarak ikan ini bersama dengan nasi kerabu. Cara begini memang sedap dan cukup menjadikan anda bertambah seleranya. Hehe...

Anda pasti ingin tahu cara membuat sarak ikan istimewa ini kan?

Bahan-bahan yang anda perlukan ialah :

1. 3 ekor ikan kembung
2. 5 ekor ikan selayang
3. 1/2 biji kelapa tua
4. 7 ulas bawang merah
5. 2 ulas bawang putih
6. 2 hiris halia
7. 2 hiris lengkuas
8. 2 sudu lada lumat
9. 1 camca ketumbar
10. 1/2 camca jintan manis
11. sedikit belacan, asam jawa dan gula

Nahh..anda sudah boleh membuat makanan ini. Tetapi pastikan anda mengikuti langkah-langkah di bawah untuk memastikan rasa dan keaslian sarak ikan ini tidak akan hilang. Ok...

  • Ikan kembung dibelah belakang dan dibuang tulangnya. Kikis sedikit isinya. Ini digunakan sebagai sarung bagi diletakkan isi sarak ikan yang telah siap.
  • Ikan selayang dibersihkan dan diambil isinya sahaja
  • Kelapa diparut halus-halus.
  • Isi ikan selayang ditumbuk hingga lumat. Masukkan kelapa yang telah diparut dan tumbuk kedua-dua campuran ini hingga betul-betul hancur.
  • Masukkan semua rempah yang telah ditumbuk, masukkan belacan dan asam jawa yang telah diramas dengan sedikit air. Kemudian tuangkan airnya ke dalam hasil campuran tadi. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan gaulkan hingga sebati.
  • Ambil sarung ikan kembung dan masukkan hasil isi ikan ke dalamnya sehingga penuh.
  • Kukus atau rebus dengan sedikit santan sehingga masak.

Selasa, Jun 01, 2010

Entri 44 : Kuih Qasidah


Kuih Qasidah - A'ah...Qasidah yang mana satu ini ye? haha. Apabila mendengarkan nama kuih yang comel ini pun sudah membuatkan penulis tertarik, lalu penulis terus mencubanya sendiri. Memang sedap dan cukup manis berlemak rasa kuih qasidah ini. Anda pasti tidak ketinggalan mahu merasa sendiri keenakan kuih qasidah yang jarang ditemui ini. Bukankah begitu? hehe.

Kuih qasidah juga merupakan salah satu kuih tradisional di Negeri Terengganu Darul Iman. Kuih ini amat popular dan cukup digemari di kalangan warga tua di mana-mana tempat sekali pun, termasuklah nenek penulis sendiri yang begitu menggemari kemanisan kuih ini. Tetapi jika anda begitu mengambil berat soal kesihatan anda, penulis tidak menggalakkan anda untuk merasanya. Kesihatan anda patut diutamakan juga.




Keistimewaan kuih qasidah ialah terletak pada bawang merah yang telah digoreng dan kemudian ditaburkan di atas permukaan kuih-nya. Ini membuatkan penulis terfikir, kenapa perlunya ditaburkan bawang-bawang ini ye? Siapa boleh jawab, angkat tangan!

Cara-cara untuk membuat kuih qasidah ini senang sahaja. Anda cuma perlukan bahan-bahan seperti di bawah :

1. tepung gandum
2. santan
3. gula
4. telur
5. sedikit garam
6. bawang yang digoreng untuk ditaburkan di atas kuih.
7. Acuan untuk menghasilkan bentuk kuih qasidah yang bercorak seperti bunga.

Selamat Mencuba.

Isnin, Mei 31, 2010

Entri 42 : Hai Peng Kopitiam



Hai Peng Kopitiam - Selain daripada Kemaman Cendol Kopitiam, Hai Peng Kopitiam merupakan salah sebuah kopitiam yang memang amat popular dan menjadi tumpuan kebanyakkan pelanggan daripada pelbagai kaum di daerah Kemaman. Kedudukan Hai Peng Kopitiam yang terletak di simpang masuk ke Bandar Chukai ini selalu menarik perhatian pelanggan untuk singgah dan menjamu selera di sini, tidak kiralah pelanggan itu terdiri daripada kaum China, kaum Melayu dan juga kaum India.

Pelancong-pelancong asing dan juga pelancong-pelancong dari luar daerah Kemaman turut tidak melepaskan peluang untuk mencuba menu yang terdapat di Hai Peng Kopitiam ini yang telah mencetuskan fenomena dan selalu membuatkan penulis terfikir apakah keistimewaannya di Hai Peng Kopitiam.

Nahh...anda terliur tak melihat makanan yang terhidang ini?

** Inilah dia menu utamanya. Air kopi istimewa untuk penggemar kopi.

** Menu roti yang berintikan kaya. Inti kaya ini dikatakan menjadi igauan pelanggan-pelanggan untuk datang ke Hai Peng Kopitiam. Anda juga teringin untuk merasa menu ini?

** Ini pula menu ice-blended coffee yang dicampur aiskrim. Memang sedap jika dinikmati semasa cuaca panas dan boleh menyegarkan tekak anda yang kering itu.

** Haah..jangan tidak tahu. Di sini pun ada menu nasi dagang tau. Khas untuk anda yang mencari menu berasaskan nasi di Hai Peng Kopitiam. hehe. Menu nasi lemak pun ada dijual di sini.

Hai Peng Kopitiam ini diasaskan oleh pengurusnya yang berbangsa China. Jika anda yang berbangsa China ingin mencuba menu di sini, jangan tunggu lama-lama ye. Boleh berkunjung ke lokasi berikut :

Hai Peng Kopitiam
No. 3753 Jalan Sulaimani,
Bandar Chukai,
24000 Kemaman,
Terengganu Darul Iman.

Hubungi : 09 - 859 7810

Waktu Operasi :

Dari jam 6.45 pagi hingga jam 6 petang


Maklumat lanjut di sini. (** sumber internet)

Jika anda yang bukan berbangsa China tetapi ingin juga datang ke kopitiam ini, silakan. Tetapi penulis tidak mengesyorkan anda untuk datang ke kopitiam ini terlalu kerap. Pilihlah lokasi kopitiam lain yang berdekatan dengan anda dan lagi terjamin - seperti Kemaman Cendol Kopitiam.

Khamis, Mei 13, 2010

Entri 31 : Sotong Celup Tepung


Anda rasa teringin hendak merasa sotong celup tepung? Ooo....jangan tunggu sampai rasa kempunan baru hendak merasa makanan ini. Di Negeri Terengganu, tempat yang popular dan menjadi tumpuan ramai untuk mencuba makanan yang bercelup tepung - seperti ikan celup tepung, sotong celup tepung, keropok celup tepung, pisang goreng celup tepung, tapai celup tepung dan juga cempedak celup tepung ialah di Pantai Lapangan Terbang (Pantai Airport) iaitu letaknya di belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Dan inilah hasilnya rupa sotong celup tepung yang siap untuk dimakan bersama sos cili.
Sedap owh memang sedap sangat. haha




Cara nak membuatnya? Tidak susah untuk menghasilkan celup tepung sebegini rupa. Anda cuma perlukan bahan-bahan seperti berikut :

1. tepung beras
2. garam secukup rasa
3. serbuk kunyit (jangan sampai terlalu kuning, ok)
4. telur 1 biji (untuk melembutkan tepungnya)
5. air secukupnya. (awas! jangan terlebih air sudah la)

dan kemudian campurkan sahaja semua bahan-bahan di atas.

Selamat mencuba...

Selasa, Mei 04, 2010

Entri 21 : Keropok Lekor


Adakah anda sudah mencuba menu nasi dagang yang telah saya promosikan kepada anda pada entri yang sebelum ini? Jika sudah, anda memang berminat untuk menjadi sebahagian rakyat Negeri Terengganu. Jika belum, tidak mengapa. Selepas ini, cepat-cepat lah mencuba sebelum anda kempunan di kemudian hari. haha..

Penulis mahu anda turut mencuba satu lagi makanan yang teramat popular dan tidak asing lagi di Negeri Terengganu iaitu Keropok Lekor.

Inilah di antara Kedai Keropok Lekor yang sempat penulis pergi semasa kunjungan bersama rakan-rakan di Kampung Losong pada kali lepas.

Keropok Lekor yang dipanggil Keropok Gonde atau pun Keropok Batang adalah sejenis makanan tradisional di pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di Negeri Terengganu yang memang cukup terkenal di kalangan rakyat tempatan dan juga pelancong dari luar.

Ingin tahu sejarah pembuatan keropok lekor? Jika anda ingin tahu, baca selanjutnya.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan laut dengan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji sahaja. Kesemua ramuan tersebut akan diuli dan digentel secara panjang bertali (panjang seperti tali), dan kemudiannya akan direbus di dalam periuk yang berisi air panas (direbus bersama air didih).

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan yang berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi. Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat daripada periuknya dan dicicah dengan air lada (sos cili).

Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Walau bagaimanapun, sekiranya keropok lekor hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat air batu (peti ais batu) bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Dan apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampur sedikit garam. Sekiranya tidak, keropok lekor akan berasa tawar.

Keropok lekor yang sudah direbus akan diangkat dan disejat. Permintaan pelanggan untuk keropok lekor yang dimakan segar sebegini juga amat menggalakkan.

Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan rasa keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji kebiasaannya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.

Keropok lekor yang telah digoreng selepas dipotong pendek. Rasa keropok lekor yang digoreng adalah lebih sedap berbanding keropok lekor yang dimakan segar. Harganya pula biasanya lebih mahal sedikit dari harga keropok lekor yang direbus sahaja.

Keropok lekor juga boleh diproses untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

Anda yang terasa ingin mencuba keenakan keropok lekor hasil tangan anak Terengganu sendiri, singgahlah ke Kampung Losong yang terkenal dengan pelbagai kedai menjual keropok lekor yang asli dan segar.

Jika tiada kesempatan ke sana, singgahlah juga ke Keropok Lekor 008 yang terletak di tepi jalan Pantai Peranginan Kelulut di daerah Marang.

Selain di Marang, Kedai Keropok Lekor Sukaramai yang terletak di Kampung Mengabang Lekar, Gong Badak juga turut menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan keropok lekor yang benar-benar menepati cita rasa anda sebagai pelanggan.

Tunggu apa lagi.

Jika bukan anda yang ingin merasa makanan tradisional asli yang hanya terdapat di Negeri Terengganu, siapa lagi kan?

Khamis, April 29, 2010

Entri 14 : Nasi Dagang Azizah Special


Nasi dagang memang tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Negeri Terengganu. Jika pada setiap kali musim perayaan atau pun semasa kenduri-kendara, menu utamanya di sini pasti nasi dagang. Bagi anda yang ingin merasa keenakan nasi dagang hasil tangan orang Terengganu sendiri, boleh mencubanya sendiri dengan datang ke Kedai Nasi Dagang Azizah Special.

Nasi Dagang Azizah Special di Jalan Parit Tali Air, Off- Jalan Budiman, Batu Buruk

Di mana letaknya tempat ini? Memandangkan penulis sendiri tidak terlalu kenal dengan jalan-jalan di kawasan ini, penulis tidak dapat memberi arah jalan yang betul-betul tepat tetapi jika anda kenal dengan SMKA Sheikh Abdul Malek, anda hanya perlu masuk ke Jalan Parit Tali Air, Off Jalan Budiman yang terletak bertentangan dengan sekolah ini dalam jarak tidak sampai 1 km sahaja. Selepas itu, anda akan berjumpa dengan Kedai Nasi Dagang Azizah Special yang terletak di tepi jalan.

Selain daripada menyediakan menu nasi dagang, di kedai ini turut menjual menu nasi minyak, nasi lemak, nasi kuning, laksam dan kuih-muih yang lain juga. Minuman-minuman panas dan sejuk juga ada disediakan. Harga yang ditawarkan berpatutan dengan kadar Rm2.00 sahaja untuk menu yang menggunakan ikan sementara RM3.00 untuk menu berlauk ayam.

Di antara pelanggan yang bertandang ke sini.

Pemilik Kedai Nasi Dagang Azizah Special serta adik-beradiknya sedang melayani pelanggan.

Keistimewaanya nasi dagang ini adalah terletak pada
nasi dan kuahnya. Nasi dagang dihasilkan daripada beras siam yang dicampur dengan pulut atau pun dengan menggunakan beras siam wangi seratus-peratus (sepenuhnya). Manakala kuahnya pula merupakan kuah gulai ikan tongkol (ikan ayar hitam). Selain itu, acar timun batang juga turut dimakan bersama nasi sebagai pelengkap kepada menu nasi dagang ini.

Ini adalah campuran menu nasi dagang dan nasi kuning.

Tunggu apa lagi. Mari menjamu selera di Nasi Dagang Azizah Special. Anda rugi jika tidak berpeluang mencuba nasi dagang di Terengganu Darul Iman.