Bukit Keluang - Di tempat inilah sering kali diperkatakan rakyat Negeri Terengganu sebagai lembah ilmu ataupun lembah untuk menimba ilmu pengetahuan. Mungkin kerana disebabkan di kawasan berdekatan dengan Bukit Keluang telah menempatkan beberapa kem bina negara yang tidak asing lagi di kalangan rakyat sekitar Negeri Terengganu Darul Iman yang selalu datang ke mari untuk mengikuti pelbagai kursus dan aktiviti yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.
Sekitar pada bulan Mac tahun 2009, penulis telah berpeluang mendaki ke puncak Bukit Keluang bersama rakan-rakan pelajar dari UDM. Modul aktiviti mendaki ke puncak Bukit Keluang ini merupakan modul terakhir bagi penulis dan rakan-rakan yang telah mengikuti dengan jayanya Kursus Bina Negara Mahasiswa Asas Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Terengganu yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara Negeri Terengganu dan bertempat di Kem Damai, daerah Besut, Terengganu Darul Iman.

Berhampiran dengan Kem Damai juga terdapat beberapa lagi Kem Bina Negara lain yang selalu digunakan oleh pihak luar untuk berkursus dan melakukan aktiviti lasak seperti "flying fox" dan "jungle trekking". Setiap kem-kem ini telah dibina dengan pelbagai kemudahan yang disediakan dengan cukup lengkap sekali. Kem Damai yang dihuni oleh penulis juga amat cantik dan selesa sekali dengan kemudahan penghawa dingin juga turut tersedia di kem ini.


Haah..inilah gambar yang dirakamkan ketika kami sampai di atas puncak Bukit Keluang menggunakan kamera rakan penulis. Begitu cantik permandangannya dan juga memang menarik bukan?




Struktur Bukit Keluang yang berbatu keras dengan kecuraman bukitnya adalah 90 darjah persegi dikatakan amat berbahaya jika anda tidak berhati-hati sepanjang pendakian. Tetapi anda tidak perlu risau kerana kemudahan keselamatan iaitu pemegang besi, tangga, dan laluan pejalan kaki yang telah diubahsuai turut disediakan di sepanjang jalan menuju ke puncak Bukit Keluang. Pendakian ini juga cuma mengambil masa sekitar 45 minit sahaja untuk satu hala pendakian.

Jika anda sukakan aktiviti yang lasak sebegini dan mahu mencuba pengalaman mendaki ke puncak Bukit Keluang yang cukup curam ini, datang sahaja ke sini. Anda patut merasai pengalaman berkursus di sini sambil mencuba setiap aktiviti yang disediakan khas untuk anda!

0 komen sahaja:
Catat Ulasan