Selasa, Mei 04, 2010
Entri 20 : Karnival Candat Santai Harian Metro 2010
Karnival Mencandat Sotong - ialah satu-satunya karnival yang tidak akan ada di mana-mana negeri lain selain di Negeri Terengganu Darul Iman sahaja.
Setiap kali apabila tibanya musim mencandat sotong, mana-mana individu yang teruja untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di lautan akan berlumba-lumba untuk mendapatkan hasil tangkapan sotong yang terbaik. Kebiasaannya mereka akan bergerak secara berkumpulan dan berkelompok dan mereka juga akan turut bermalam di atas bot sambil menunggu hasil tangkapan sotong masing-masing.
Penulis ingin menarik perhatian anda mengenai Karnival Candat Harian Metro 2010 yang telah diadakan pada 30 hb April dan 01 hb Mei 2010 baru-baru ini. Karnival ini telah diadakan di Kuala Dungun, Terengganu dan mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Perbandaran Dungun serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Pengarah karnival, Encik Othman Mamat berkata, dua kategori dipertandingkan pada karnival tersebut iaitu kategori individu - diukur mengikut seekor sotong terpanjang manakala untuk kategori berkumpulan - diukur mengikut jumlah tangkapan yang terberat bagi 10 peserta yang pertama.
Juara bagi kategori individu telah menerima wang tunai RM2,500; tempat kedua RM1,700 dan tempat ketiga RM1,000. Hadiah wang tunai masing-masing meraih RM1,000 dan 10 hadiah iringan lain disediakan bagi kategori berkumpulan terbuka dan kategori korporat sehingga tempat ke-20.
Setiap bot pula disyaratkan hanya menempatkan 10 peserta dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja yang layak menyertai. Peserta juga diwajibkan memakai jaket keselamatan sepanjang pertandingan. Acara ini bermula jam 2 petang dan berakhir pada jam 9 malam. Setiap peserta turut dikenakan yuran RM120 sahaja.
Selain disokong oleh Harian Metro, Karnival Candat Harian Metro 2010 ini turut disokong oleh Tourism Malaysia, Sani Express, Federal Malay Holdings, Maggi, Promat dan Hotel Mayang Sari.
Saya mahu cetak entri ini.
0 komen sahaja:
Catat Ulasan