Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Rabu, Mei 12, 2010

Entri 29 : Sejarah Batu Bersurat Terengganu


Anda pernah melalui jalan bulatan di Kampung Ladang, ataupun dikenali dengan nama Bulatan Ladang? Berdekatan dengan Bulatan Ladang ini pula letaknya Masjid Ladang. Haa..Jika pernah, anda pasti akan melihat satu monumen (replika) yang berbentuk menyerupai batu bersurat. Jika anda ingin tahu, itulah ia namanya Batu Bersurat Terengganu.


Replika Batu Bersurat Terengganu letaknya di Bulatan Ladang.

- Sejarah Batu Bersurat Terengganu dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun. Ia merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dengan tulisan jawi pertama yang ditemui di Malaysia.

- Dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu yang ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di Tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, daerah Hulu Terengganu pada tahun 1899, telah membuktikan agama suci, iaitu agama Islam telah sampai ke Negeri Terengganu Darul Iman sebelum tahun 1326 atau tahun 1386 lagi.

- Batu ini dikatakan telah dijumpai oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari iaitu seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali beserta orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Batu ini telah di persembahkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 111 dan kemudian diletakkan di atas Bukit Puteri.

- Pada tahun 1922, Timbalan Penasihat Inggeris di Negeri Terengganu, Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar Batu Bersurat Terengganu dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Batu itu telah patah sebahagian di sebelah atasnya dan ditulis di dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah.

- Pada tahun 1923, batu ini dipinjamkan sementara ke Muzium Raffles, Singapura. Sehingga Muzium Negeri Terengganu di Kampung Losong siap dibina, batu bersurat tersebut telah dipulangkan ke Muzium Kuala Lumpur dari Muzium Raffles, Singapura.

- Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium Kuala Lumpur menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat tersebut dan dijadikan sebagai bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat Terengganu dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.

** (ini sumber dari wikipedia.org)**

Begitulah ceritanya sejarah Batu Bersurat Negeri Terengganu Darul Iman. Penulis akan menceritakan pula mengenai isi kandungan yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu pada entri yang seterusnya.

Ok...jadi jangan lupa teruskan anda meneroka Negeri Terengganu Darul Iman, negeri cantik, budaya menarik!

Saya mahu cetak entri ini.

0 komen sahaja:

Catat Ulasan