Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Selasa, Jun 15, 2010

Entri 56 : Pantai Jambu Bongkok


Tatkala mata terpandangkan
Pantai Jambu Bongkok, penulis teringat nostalgia zaman kanak-kanak penulis dan adik-beradik di pantai ini. Oleh kerana kerapnya kami ke sini apabila pulang bercuti ke Kampung Jambu Bongkok, bolehlah diibaratkan suasana pantai dengan kehidupan kami sendiri memang sukar untuk dipisahkan. Bagai aur dan tebing juga seperti irama dan lagu. Ia sentiasa akan bersama selamanya. haha

Kali pertama adik bongsu penulis datang ke Pantai Jambu Bongkok. Bertudung untuk mengelak dari teriknya panas cahaya matahari pada waktu petang.

Kadang-kadang penulis datang ke Pantai Jambu Bongkok bersama beberapa orang sepupu yang memang tinggal menetap di Kampung Jambu Bongkok. Disebabkan jarak pantai ini dengan rumah tinggalan arwah nenek dan atuk kami amat dekat, desiran air ombak berserta tiupan angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa itu dapat penulis rasai setiap kali bermalam di sini. Suasana yang begitu mendamaikan perasaan penulis. hehe

Bangsal yang anda nampak di atas ini merupakan tempat bot-bot nelayan mendarat apabila mereka pulang dengan hasil tangkapan yang Alhamdulillah cukup untuk mengalas perut.

Di waktu petang begini pun ada yang masih bermandi-manda. Seronok sangat nampaknya.

Begitu cantik ciptaan Tuhan Pencipta Alam yang patut anda hargai di Pantai Jambu Bongkok.

Pokok ini banyak terdapat di pesisir Pantai Jambu Bongkok. Kata ummi penulis, pokok ini amat berguna untuk ibu-ibu yang baru sahaja bersalin. Iye ke?


Di manakah letaknya Pantai Jambu Bongkok? Ohh ya. Laluan ke pantai ini tidak mempunyai papan tanda arah yang jelas. Tetapi jika anda sudah kenal akan daerah Marang dan pernah melaluinya untuk pergi ke Jeti Marang ke Pulau Kapas, anda pasti akan berjumpa dengan papan tanda yang bertulis Kampung Jambu Bongkok. Jangan segan untuk bertanya pada penduduk kampung di sini jika anda tersesat di perjalanan.

Ada lagi yang menariknya di pantai ini. Jika anda ingin tahu, Pantai Jambu Bongkok juga pernah dijadikan sebagai lokasi penggambaran bagi satu drama Melayu (penulis sudah lupa tajuk drama ini) yang telah ditayangkan pada hari raya kedua tahun 2009 di RTM1.

Ke Pulau Kapas sudah pun pergi,
Apa kata datang sahaja ke sini,
Pantai Jambu Bongkok menjadi destinasi,
Konfim anda tidak akan rugi.


Isnin, Jun 14, 2010

Entri 55 : Pulau Kapas


Sudah puas berkelah di pantai daratan, apa kata anda bercuti pula di pulau. Haah..di mana tempatnya itu? Banyak sungguh pulau-pulau yang terdapat di Negeri Terengganu Darul Iman. Tetapi Pulau Kapas menjadi destinasi utama penulis ingin sarankan kepada anda.

Kedudukan Pulau Kapas yang terletak dengan jarak 5 batu laut atau 6 km dari Pantai Marang, Kuala Terengganu ini selalu menjadi tumpuan utama kepada penduduk sekitar daerah Marang untuk datang ke pulau ini. Dengan masa hanya 10 minit perjalanan dari jeti Marang, anda akan sampai ke Pulau Kapas dengan selamat.

Anda yang berminat untuk datang ke Pulau Kapas dan ingin mengetahui cara yang lebih lanjut untuk datang ke sini - sila ke laman ini.

Selamat Datang ke Pulau Kapas.

Lihat kebiruan air di Pulau Kapas. Subhanallah...terlalu cantik.

"Wahh..cantiknya terumbu karang ini. Jom kita bergambar bersama-sama."

Ini keseronokan berganda untuk anda yang berminat untuk mencuba aktiviti menyelam (scuba diving) di Pulau Kapas. Hanya di pulau sahaja, bukan di daratan, ok..hehe


Di antara deretan bangunan dan chalet yang disediakan untuk anda. Di Pulau Kapas, terdapat 9 buah resort yang telah disediakan. Anda boleh membuat penempahan lebih awal jika ingin menginap di resort pilihan anda.

***************************************

Cuti sekolah panjang lagi.
Tak tahu hendak ke mana kali ini.
Jangan fikir ulang kali.
Pulau Kapas menggamit hati.
Datang saja ke sini.
Anda tak akan rugi.

Ahad, Jun 13, 2010

Entri 54 : Pantai Teluk Kalong


Sudah banyak kali penulis datang bersiar-siar sambil mengambil angin pantai di Pantai Teluk Kalong. Selain berpeluang melihat matahari terbenam pada waktu petang, kunjungan penulis kadang-kadang selalu bertemankan sepupu, rakan-rakan penulis dan juga rakan-rakan adik penulis sendiri yang selalu datang bermalam di rumah kami. Pandangan pertama mereka sudah tentu terpaut akan keindahan pantainya yang masih lagi terjaga dan belum terhakis.

Begitu seronok rupa kami semua apabila disuruh berposing. haha

Pantai Teluk Kalong yang terletak di Kampung Teluk Kalong, Kemaman selalu menjadi tumpuan penduduk Kampung Teluk Kalong dan juga orang luar untuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang menarik. Tidak kiralah aktiviti itu dijalankan secara bersendirian, bersama keluarga mahupun bersama rakan-rakan. Acara terbesar yang pernah diadakan di Pantai Teluk Kalong adalah Karnival Sua Rasa TV9 yang telah diadakan pada tahun lepas, iaitu tahun 2009.

Syarikat besar seperti Petronas Cari Gali Berhad pernah mengadakan Hari Keluarga Petronas di pantai ini. Aktiviti terdekat yang bakal dijalankan pada 18 hb dan 19 hb Jun ini adalah Perkhemahan Keluarga Warga Penduduk Kampung Teluk Kalong di mana program ini akan melibatkan penyertaan daripada semua penduduk kampung ini.

Inilah salah satu keunikan yang terserlah di Pantai Teluk Kalong. Macam rupa batu belah batu bertangkup sahaja kan? hehe







Pada waktu petang selepas asar begini kebiasaannya air laut di pantai ini masih lagi surut (tidak pasang) dan tidak berbahaya untuk anda yang mahu bermandi-manda. Lihat pasir pantainya yang cukup cantik memutih. Memang akan menggamit hati anda untuk datang ke Pantai Teluk Kalong.

Mahu ke mana, tiga dara pingitan? hehe

Milik siapakah jejak tapak kaki ini yee? Milik siapakah gadis ini...oleh Allahyarham Sudirman.



Di antara kemudahan yang terdapat di Pantai Teluk Kalong adalah kemudahan tandas awam, gerai makan, taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, gelanggang futsal, peralatan untuk bermain air (seperti kayak dan bot), pondok rehat dan tempat meletak kenderaan yang secukupnya.

Jika anda bernasib baik, anda turut berpeluang melihat kumpulan nelayan-nelayan kampung yang selalu pulang ke darat dengan hasil tangkapan mereka. A'ah la kan..peluang sebegini biasanya amat jarang diperolehi di tempat lain, dan juga di negeri lain. hehe

Musim cuti persekolahan yang panjang begini amat sesuai untuk anda membawa keluarga tersayang datang berkelah ke sini. Apa yang ditunggu lagi? Mari berkelah di Pantai Teluk Kalong.

Entri 53 : Melihat Matahari Terbenam


Melihat matahari petang terbenam di tepi pantai memang menyeronokkan. Penulis berpeluang merasai suasana sebegini bersama adik dan rakan penulis. Di mana tempatnya? Haah..Dekat sahaja tempatnya dengan kampung penulis, iaitu di Pantai Teluk Kalong. Hanya 1 minit berjalan kaki untuk sampai ke pantai ini. Pejam mata pun boleh sampai agaknya, kan?

Kami duduk bersimpuh di tepian pantai, sambil menghadap matahari petang. hehe. Ya Allah...Subhanallah. Begitu cantik suasananya. Terasa kagum amat dengan kekuasaan-Nya.



Pantai Teluk Kalong terletak di Kampung Teluk Kalong - di mana kampung ini merupakan kampung kelahiran Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Bin Said.

Khamis, Jun 10, 2010

Entri 52 : Pasar Malam Taman Bandar Cukai


Pasar malam di Taman Bandar Cukai selalu diadakan pada setiap hari Isnin dan hari Khamis setiap minggu. Pasar malam di sini selalu menjadi tumpuan warga daerah Kemaman untuk membeli-belah. Di sini pelbagai jenis makanan dan keperluan harian yang disediakan untuk anda dengan tawaran harga yang berpatutan. Di antaranya adalah...







Entri 51 : Taman Bandar Cukai


Taman Bandar Cukai telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad, iaitu merangkap juga sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman pada masa itu. Tanggal 6 hb Ogos 1994 telah menjadi saksi Taman Bandar Cukai dibuka untuk kegunaan umum.

Saksi kemegahan Taman Bandar Cukai.

Taman Bandar Cukai yang terletak di daerah Kemaman ini amat sesuai untuk anda berekreasi dan melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan. Saban tahun, di sinilah tempatnya selalu diadakan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua rakyat pelbagai kaum di peringkat daerah dan juga Negeri Terengganu.

Di sini juga merupakan tapak tetap (wajib) diadakan pasar malam di Bandar Chukai pada setiap hari Isnin dan Khamis. Pada setiap hari Jumaat juga turut diadakan Pasar Hari Jumaat di Taman Bandar Cukai.


Anda ingin tahu apa yang menariknya di sini? Sudah tentu keindahan landskapnya yang selalu terjaga dan terpelihara. Begitu indah ciptaan manusia, indah lagi ciptaan Tuhan Pencipta Alam.


Di antara landskap dan mercu tanda yang terpampang megah di Taman Bandar Cukai.

Kemudahan tandas awam, bilik mandi, pondok rehat, bangku duduk, taman permainan kanak-kanak, kedai makan dan juga pelbagai jenis alatan dan keperluan untuk anda bersenam dan berekreasi cukup lengkap tersedia untuk anda dan semua pengunjung yang datang ke sini.

Anda boleh menggunakan kemudahan tandas awam di sini secara percuma sahaja.



Inilah di antara kemudahan untuk anda berekreasi dan bersenam yang disediakan di sini. Gunakanlah kemudahan ini dengan sebaik-baiknya. Jika tersilap caranya, bahaya juga kan.


Taman permainan kanak-kanak yang terletak di dalam pagar yang cukup selamat untuk anak-anak anda bermain dan bergelak ketawa bersama rakan-rakan sebaya.

Comel sungguh baby ini. Ini sebenarnya adik penulis yang juga ingin bersenam, katanya begitu. hehe

Entri 50 : Air Terjun Jeram Penitih


Air Terjun Jeram Penitih dengan keluasan 4,000 hektar persegi (atau 10,000 ekar) terletak di Seri Bandi, daerah Kemaman. Asal-usul nama Jeram Penitih diberi kerana disebabkan air terjun di tempat ini tidak akan ditemui oleh orang luar melainkan lokasinya telah sedia dititih (diwarisi) dari generasi ke generasi berikutnya.

Disebabkan lokasi tempat ini amat sulit untuk ditemui, Air Terjun Jeram Penitih tidak begitu dikenali ramai oleh pelancong dari luar Negeri Terengganu.


Keistimewaannya yang begitu jelas ketara di sini adalah Air Terjun Jeram Penitih mempunyai lapan (8) tingkat air terjun. Setiap tingkat air terjun-nya mempunyai spesifikasi yang berbeza dan juga keunikannya yang tersendiri.

Wahh...begitu menarik, bukan?

Di tingkat pertama (1) Air Terjun Jeram Penitih, anda akan melepasi sungai-sungai kecil dan juga bukit. Perjalanan di sini masih lagi lancar dan senang sekali.

Di tingkat kedua (2) dan tingkat-tingkat yang seterusnya juga, pendakian anda akan menjadi bertambah sukar kerana struktur permukaan dan kawasan air terjun yang semakin curam.

Di tingkat ketiga (3),
dengan ketinggian air terjun adalah 300 kaki dari paras darat, di sini amat sesuai untuk anda melakukan aktiviti absailing.

Di tingkat keempat (4), kawasannya juga curam tetapi permandangan di sini memang cantik. Di kawasan air terjun ini dahulu merupakan kawasan penempatan persembunyian komunis. Di belakang air terjun ini terdapat sebuah gua yang digunakan untuk anggota komunis bersembunyi.

Di tingkat ketujuh (7) air terjun ini, terdapat banyak udang-udang halus yang boleh anda tangkap secara hidup-hidup dan juga boleh dimakan.

Di tingkat kelapan (8) pula, di sini permandangannya memang cukup cantik sekali jika dibandingkan dengan permandangan di tingkat-tingkat bawah Air Terjun Jeram Penitih.

Di antara aktiviti yang anda boleh lakukan di Air Terjun Jeram Penitih adalah aktiviti berkelah, berkhemah dan juga berekreasi bersama rakan-rakan dan keluarga. Kemudahan "Crusher Run" Access Road (Certain) telah tersedia untuk anda di sini.