Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Isnin, Julai 05, 2010

Entri 72 : Lemang Kijal


Singgah sebentar di mukim Kijal, daerah Kemaman, penulis tidak akan lupa untuk singgah di warung lemang Mak Ngah Minah. Sudah hampir 20 tahun beliau mengusahakan perniagaan lemang di sini. Sejak 20 tahun yang lepas juga beliau tidak pernah jemu melayan kerenah setiap pelanggannya yang setia berkunjung ke warung lemang kijal ini.

Anak Mak Ngah Minah, iaitu Mek Zah masih lagi sihat bertenaga meneruskan perniagaan lemang kijal ini.

Lemang merupakan satu lagi makanan warisan turun-temurun yang ada di Negeri Terengganu Darul Iman. Keenakan lemang ini terletak pada isi pulutnya yang dihasilkan menggunakan beras pulut yang dicampur dengan santan kelapa dan garam secukup rasa.


Kebiasaannya sebatang buluh yang bersaiz kecil dan sederhana akan digunakan untuk diletakkan hasil campuran tiga bahan tadi yang telah sebati. Buluh yang telah siap diisi ini kemudiannya akan dibakar di atas bara api sehingga betul-betul masak dan menghasilkan lemang yang pasti akan memikat hati anda. Hehe

Harga yang biasa ditawarkan untuk pelanggan-pelanggan di warung lemang kijal Mak Ngah Minah ini adalah sekitar RM4.00 dan RM5.00 sahaja untuk sebatang lemang mengikut saiz yang ada. Cukup berbaloi harga dikenakan ini dengan rasa lemangnya. Sungguh! Penulis memang sangat setuju dengan keenakan lemang yang dijual di sini. Pasti anda tidak akan menyesal jika berpeluang singgah membeli lemang di Kijal.



Entri 71 : Rumah Terengganu


Rumah moden yang berkonsepkan tradisional Negeri Terengganu
ini dapat dilihat di Kampung Kubang Kurus, daerah Kemaman. Kampung Kubang Kurus ini terletak bersebelahan dengan Taman Chukai Indah yang merupakan kediaman tetap keluarga penulis sekarang ini.

Alang-alang terpandangkan keunikannya yang amat terserlah cantik ini, penulis tidak melepaskan peluang mengambil gambar-gambar ini untuk tatapan anda yang masih tercari-cari apa yang menarik di Negeri Terengganu Darul Iman. See di bawah ini.







Sudah puas melihat gambar rumah unik ini? Jika anda ingin merakamkan sendiri keunikan reka bentuk rumah mewah ini, anda boleh datang berkunjung ke daerah Kemaman. Hehe

Entri 70 : Taman Rekreasi Bukit Puteri


Tidak pernah terdetik di hati penulis untuk sampai ke Bukit Besi. Inilah kali pertama penulis menjejakkan kaki ke sini. Tatkala kereta kancil abah penulis melangkah masuk ke pintu gerbang utama taman rekreasi ini, secara spontan penulis berasa kagum yang teramat sangat. Iye lah kan, di dalam Bukit Besi pun, rupa-rupanya masih tersimpan kukuh khazanah yang begitu berharga. hehe


Inilah dia tempat untuk anda berekreasi di daerah Dungun - iaitu Taman Rekreasi Bukit Puteri Bukit Besi. Wah cukup panjang sekali nama yang diberi. Sama panjang jaraknya dengan pintu gerbang yang setia menyambut kedatangan pengunjung-pengunjung yang datang ke sini.

Di sepanjang jalan melangkah masuk ke Taman Rekreasi Bukit Puteri Bukit Besi. Ha. tengok itu, siap ada kelab golf lagi. Macam seronok sahaja tempat ini kan?

Jika perut terasa lapar, kemudahan kedai makan juga ada disediakan.

Oh ya, bukan ini yang menjadi fokus utama di Taman Rekreasi Bukit Puteri. Ini hanyalah kemudahan sampingan yang terdapat di sini.

Menariknya di sini adalah perkhidmatan rekreasi air yang disediakan untuk anda sebagai pengunjung. Mahu lihat sendiri jadual perkhidmatan air ini?


Klik untuk gambar yang lebih jelas.

Perkhidmatan air yang disediakan adalah "paddle boat" dan kayak sahaja. Kadar bayaran yang dikenakan telah ditetapkan mengikut jangka masa penggunaan perkhidmatan air ini.

Untuk menggunakan perkhidmatan air ini juga, anda harus menaikinya di jeti yang telah siap khusus untuk anda.


Ini jetinya.

Ahad, Julai 04, 2010

Entri 69 : Kelip-Kelip Sungai Yak Yah


Dalam jarak 5 kilometer daripada Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman - anda akan sampai ke kawasan
Kelip-Kelip Sungai Yak Yah.


Untuk melihat kelip-kelip ini, anda harus menaiki bot di jeti Sungai Yak Yah. Kelip-kelip yang lebih popular dipanggil si kunang-kunang ini biasa akan dapat dilihat di sepanjang Sungai Yak Yah menjelang pada malam hari. Jangan mengharapkan kehadiran kelip-kelip pada waktu siang kerana serangga misteri ini hanya akan keluar dari tempat persembunyiannya pada waktu malam sahaja. hehe

Jeti di kawasan Kelip-Kelip Sungai Yak Yah. Bot-bot turut disediakan untuk kegunaan anda yang ingin menyelusuri Sungai Yak Yah sambil melihat sendiri bentuk dan rupa kelip-kelip yang amat jarang ditemui ini.

Bangunan pemantau Kelip-Kelip Sungai Yak Yah.


Ada juga kemudahan yang disediakan di sini - iaitu surau dan tandas awam.

Sungai Yak Yah menjadi habitat yang terbesar di Malaysia bagi si kunang-kunang ini.

Khamis, Julai 01, 2010

Entri 68 : Taman Rekreasi Mini Zoo Kemaman



Melalui jalan di Bukit Takal, daerah Kemaman. Jeng-jeng ini lah dia Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman. Kedudukannya yang terletak di tepi jalan raya utama pasti akan menarik perhatian anda untuk melangkah masuk ke pintu gerbang taman rekreasi ini yang begitu besar dan jelas tersergam indah. MasyaAllah cantik juga pintu gerbang nya kan? hehe


Harga tiket untuk masuk ke Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini adalah seperti yang terpampang di dalam gambar di bawah ini. Sengaja penulis ingin anda melihat sendiri harga tiket masuk ke sini yang agak berpatutan juga. Tengok itu, siap ada promosi lagi. Hehe.


Sudah selesai membeli tiketnya, apa kata anda baca dahulu peta yang disediakan di pintu masuk Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini sebagai panduan sepanjang di perjalanan. Rasanya tidak susah bagi anda ingin melihat sendiri apa yang menariknya disediakan di sini kan?


Apa yang menariknya, selain terdapat pelbagai jenis spesies tumbuhan dan juga haiwan, di sini juga disediakan kemudahan kenderaan buggy, water boom, jambatan gantung, pondok rehat dan kedai runcit untuk kegunaan semua pengunjung yang datang ke sini.

Di antara spesies tumbuhan dan haiwan yang dapat anda lihat secara terus di sini.


Untuk merasai pengalaman menaiki gajah, anda boleh mencuba pakej menaiki gajah di Pusat Santuari Gajah dengan kadar bayaran RM 20.00 sahaja.


Kenderaan buggy.

Tangga yang disediakan untuk naik ke jambatan gantung.

Dari atas jambatan gantung ini, anda akan dapat melihat tarikan terbaru di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman iaitu dua ekor harimau yang diberi nama Courtney dan Chiko. Mahu berkenalan dengan kedua-dua harimau yang comel ini? hehe. Anda boleh lihat gambar di bawah ini.

Courtney dan Chiko.

Permainan air yang diberi nama water boom yang juga turut menjadi tarikan anak-anak kecil untuk bermain air di sini.

Untuk datang ke Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman, anda boleh merujuk pada peta di bawah ini.


Dalam jarak beberapa kilometer untuk sampai ke Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman, anda pasti akan berjumpa dengan beberapa papan tanda seperti di bawah ini.


Entri 67 : Sungai Lasir Tasik Kenyir


Sungai Lasir di Tasik Kenyir tidak pernah sunyi dan lekang daripada menjadi sasaran golongan kaki pancing merasai pengalaman memancing di sini. Kebiasaannya golongan ini akan datang secara berkelompok. Tidak meriahlah jika ingin memancing secara berseorangan di tempat yang indah begini kan? hehe.

Terdapat banyak pakej untuk memancing yang ditawarkan di Tasik Kenyir. Salah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan di Sungai Lasir ini adalah Tasir Kenyir Enterprise.


Berminat untuk menggunakan perkhidmatan di Tasik Kenyir Enterprise? Anda boleh hubungi nombor-nombor yang tertera di bawah ini :

  • Idris - 019-9348787
  • Arif - 013-9956304
  • Pejabat - 09-6817787
Anda pasti ingin merasai pengalaman bermalam di dalam bot yang berbentuk seperti rumah rakit. Lihat gambar bot di bawah ini. Bot ini juga merupakan salah satu pakej yang disediakan di Tasik Kenyir Enterprise. Bagi pendapat penulis sendiri, memang unik, menarik dan cantik sekali bentuk bot ini. Mungkin pendapat anda berbeza dengan penulis.


Jika anda tidak berminat untuk memancing, apa kata anda mengambil peluang ini dengan menaiki bot yang disediakan untuk pengunjung mengelilingi Tasik Kenyir. Melihat sendiri permandangan tasik yang sejuk dan menghijau merupakan satu pengalaman yang jarang-jarang anda rasai sebelum ini. Ini pasti akan turut menggamit hati dan memori anda untuk datang lagi ke Tasik Kenyir selepas ini.





Sudah puas bermain air tasik, anda juga boleh mencuba aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di daratan. Apa yang ada di daratan? Oh ya. Jika anda tidak datang sendiri ke sini, anda tidak akan tahu apa keistimewaannya tempat yang menjadi destinasi popular ramai pelancong-pelancong dari dalam negara dan luar negara ini.

Selain daripada Sungai Lasir, di Tasik Kenyir juga ada beberapa tempat menarik lain lagi yang menyediakan perkhidmatan yang setiap satunya pasti menjanjikan pengalaman yang berbeza kepada anda. Anda boleh klik di sini jika ingin tahu lebih lanjut lagi mengenai Tasik Kenyir.




Selain daripada pakej untuk memancing yang disediakan di sini, kemudahan dan aktiviti-aktiviti yang lain juga turut ada di Tasik Kenyir. Di antaranya adalah tapak perkhemahan dan kemudahan, Menara Permandangan, Hentian Utama dan Jambatan Cantung.


Entri 66 : Air Terjun Menderu


Satu lagi tempat untuk anda berekreasi yang jarang dikenali ramai di daerah Kemaman ialah Air Terjun Menderu yang terletak di mukim Kerteh. Untuk sampai ke Air Terjun Menderu ini memerlukan kesabaran yang amat tinggi dari anda kerana sebelum anda terpaksa meniti sebatang kayu yang dijadikan sebagai jambatan, anda juga harus menaiki bukit terlebih dahulu. Masya Allah penulis berasa cukup gerun dan takut sekali pada asalnya.


Tetapi apabila sudah selamat menjejakkan kaki ke kawasan perkelahan ini, perasaan seronok dan gembira pula yang dapat dirasakan. Iye lah kan, siapa yang tidak akan terpegun melihat keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan Pencipta Alam yang serba sempurna segalanya. Pasti di dalam hati setiap pengunjung yang datang ke sini tidak akan putus-putus memuji kebesaran Allah s.w.t yang Maha Agung ini.



Sudah puas bermandi-manda di Air Terjun Menderu, perut pula terasa lapar minta diisi. Apa lagi, berehatlah sebentar di pondok-pondok rehat yang disediakan di sini. Kemudahan lain yang juga disediakan adalah gerai makanan dan minuman, tandas awam, surau (musolla), bangku duduk, tong sampah, papan tanda amaran, TLK dan juga "paved access road".


Ada satu lagi keistimewaan yang disediakan khas untuk kaki pancing. Anda boleh memancing di sini tanpa dikenakan sebarang caj tetapi jika anda mahu membawa pulang hasil tangkapan ikan di sini, anda dikenakan bayaran yang berpatutan. Sebagai contoh :
  • Ikan keli, ikan puyu dan ikan talapia = RM 8.00 sekilogram
  • Ikan pacu dan ikan roha = RM10.00 sekilogram
Semua kelengkapan dan peralatan untuk memasak ala kem tentera juga ada di sini. Semuanya disediakan dengan percuma sahaja. Mari memasak bersama-sama. yehh!

Air Terjun Menderu selalu menjadi pilihan untuk diadakan aktiviti perkhemahan dan berkelah. Jika anda ingin datang ke sini, anggaran jarak dari Bandar Chukai untuk ke sini adalah kira-kira 30 km perjalanan anda. Agak jauh sedikit jaraknya. Tetapi cukup bermakna dan menyeronokkan bagi anda yang suka akan cabaran. hehe

Penulis ingin mengambil perhatian anda untuk klik di sini. Terima kasih.