Assalamualaikum w.b.t. Salam Ceria, Salam Mesra dan Salam Satu Terengganu dari Penulis terengganucunsokmo.blogspot.com. Blog ini Menceritakan Secara Ringkas Mengenai Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya Warisan Pesisir Air. Selamat Mengenali Negeri Terengganu di Hatiku Selalu. Semoga Bermanfaat Untuk Pengetahuan Anda. Terima Kasih!

Jumaat, April 30, 2010

Entri 15 : Bengkel ICO Napp MDEC


Selamat Datang Ke ICT & Multimedia Terengganu 2010....

Booth pameran daripada Fakulti Informatik, UDM Kampus Kusza. Cantik kan?

Ini merupakan salah satu aktiviti bermusim yang telah diadakan di Negeri Terengganu. Pameran ini diadakan selama 4 hari iaitu dari 1 hb April hingga 04 hb April 2010 yang lepas. Tempat berlangsungnya pameran ini adalah di Terengganu Trade Centre (TTC).

Secara keseluruhannya sambutan yang diberi menggalakkan walaupun tidak lah sehebat pameran-pameran komputer yang biasa diadakan di Kuala Lumpur yang pastinya sentiasa mendapat sambutan amat menggalakkan.

Selain daripada pameran-pameran yang berlangsung sepanjang Minggu ICT dan Multimedia, penulis yang juga merupakan salah seorang exco untuk Persatuan Mahasiswa Fakulti Informatik serta beberapa exco yang lain turut sempat menyertai satu Bengkel ICO Napp yang dianjurkan oleh Syarikat Brainstorm Technologies Sdn. Bhd dengan kerjasama daripada pihak MDEC. Bengkel ini diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu pada 04 hb April 2010.

Bengkel ICO Napp ataupun dengan bahasa mudahnya dipanggil Bengkel IPhone Development Training ditawarkan kepada pelajar-pelajar di peringkat Sekolah Rendah dan Menengah serta juga untuk pelajar-pelajar IPT.


Penulis dan rakan-rakan diajar untuk menghasilkan perisian yang digunakan di dalam iPhone. Hasilnya, penulis memang amat berpuas hati dengan bengkel ini yang jarang disediakan. Jika diizinkan, penulis ingin menyertai bengkel sebegini lagi selepas ini.

Lihat hasilnya yang telah diajar oleh fasilitator bertauliah dari Brainstorm Technologies.

Peluang menggunakan komputer riba berjenis Apple dengan Sistem Operasi Mac tidak dilepaskan begitu sahaja. Tetapi sayangnya komputer riba ini merupakan model lama. ehe

Fasilitator dari Brainstorm Technologies, Encik Azizi Khalid yang sanggup datang nun jauh dari Kuala Lumpur. Terima kasih banyak diucapkan

Khamis, April 29, 2010

Entri 14 : Nasi Dagang Azizah Special


Nasi dagang memang tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Negeri Terengganu. Jika pada setiap kali musim perayaan atau pun semasa kenduri-kendara, menu utamanya di sini pasti nasi dagang. Bagi anda yang ingin merasa keenakan nasi dagang hasil tangan orang Terengganu sendiri, boleh mencubanya sendiri dengan datang ke Kedai Nasi Dagang Azizah Special.

Nasi Dagang Azizah Special di Jalan Parit Tali Air, Off- Jalan Budiman, Batu Buruk

Di mana letaknya tempat ini? Memandangkan penulis sendiri tidak terlalu kenal dengan jalan-jalan di kawasan ini, penulis tidak dapat memberi arah jalan yang betul-betul tepat tetapi jika anda kenal dengan SMKA Sheikh Abdul Malek, anda hanya perlu masuk ke Jalan Parit Tali Air, Off Jalan Budiman yang terletak bertentangan dengan sekolah ini dalam jarak tidak sampai 1 km sahaja. Selepas itu, anda akan berjumpa dengan Kedai Nasi Dagang Azizah Special yang terletak di tepi jalan.

Selain daripada menyediakan menu nasi dagang, di kedai ini turut menjual menu nasi minyak, nasi lemak, nasi kuning, laksam dan kuih-muih yang lain juga. Minuman-minuman panas dan sejuk juga ada disediakan. Harga yang ditawarkan berpatutan dengan kadar Rm2.00 sahaja untuk menu yang menggunakan ikan sementara RM3.00 untuk menu berlauk ayam.

Di antara pelanggan yang bertandang ke sini.

Pemilik Kedai Nasi Dagang Azizah Special serta adik-beradiknya sedang melayani pelanggan.

Keistimewaanya nasi dagang ini adalah terletak pada
nasi dan kuahnya. Nasi dagang dihasilkan daripada beras siam yang dicampur dengan pulut atau pun dengan menggunakan beras siam wangi seratus-peratus (sepenuhnya). Manakala kuahnya pula merupakan kuah gulai ikan tongkol (ikan ayar hitam). Selain itu, acar timun batang juga turut dimakan bersama nasi sebagai pelengkap kepada menu nasi dagang ini.

Ini adalah campuran menu nasi dagang dan nasi kuning.

Tunggu apa lagi. Mari menjamu selera di Nasi Dagang Azizah Special. Anda rugi jika tidak berpeluang mencuba nasi dagang di Terengganu Darul Iman.

Isnin, April 26, 2010

Entri 13 : Terengganu Equestrian Resort


Lokasi TER di Kuala Ibai

Selain bermain bowling di KT Bowl Astaka, penulis juga pernah berkunjung ke Terengganu Equestrian Resort (TER) untuk bermain bowling bersama rakan-rakan dan juga memenuhi undangan dari mereka. Itu pun hanya sekali sahaja sempat meluangkan masa di sini. Sekarang, penulis lebih selesa untuk ke KT Bowl Astaka kerana faktor jarak yang lagi dekat dengan bandar.

Bagi anda yang ingin pergi ke satu tempat yang menjanjikan kelainan, boleh cuba berkunjung ke TER ini. Lokasinya yang strategik di Kuala Ibai terletak berdekatan dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah (iaitu Masjid Terapung).

TER turut menjanjikan kemudahan untuk beriadah secara santai sambil melupakan sejenak kesibukan di kota. Ini kerana di sini terdapat kemudahan untuk penginapan (Club House), bersukan (Sport Complex), berkuda (Equestrian) dan juga tempat makan (Paddock Kafe).

Semestinya TER adalah pilihan yang amat sesuai untuk anda melakukan aktiviti bersama keluarga tersayang. Jika anda ingin datang bersama rakan-rakan pun memang seronok dan tidak rugi.

Ke mana lagi anda ingin melancong jika bukan ke Negeri Terengganu.

Ahad, April 25, 2010

Entri 12 : KT Bowl Astaka


Bagi penggemar permainan bowling, anda boleh mencuba permainan bowling di TERT dan juga KT BOWL ASTAKA selain pusat bowling yang berada di Stadium Mizan Zainal Abidin.
Di sini, kadar bayaran yang dikenakan lebih kurang sama sahaja seperti
di Stadium Mizan Zainal Abidin iaitu....

[KT Bowl Astaka]


Hari Ahad hingga Khamis

10.oo pagi hingga 5.00 petang - RM 4.
00 setiap seorang
5.00 petang hingga 11.00 malam - RM 5.00 setiap seorang


Hari Minggu (Jumaat dan Sabtu) dan Cuti Umum

10.00 pagi hingga 11.00 malan - RM5.00 setiap seorang

Kemudahan lain yang terdapat di ASTAKA - adalah pusat membeli
belah ASTAKA yang terletak hanya satu bangunan dengan pusat bowling ini. Jadi, anda tidak perlu pergi ke tempat lain yang lebih jauh jaraknya dari situ....


Moh bermain bowling di KT Bowl Astaka, Negeri Terengganu Darul Iman.

KT Bowl Astaka ini terletak bersebelahan dengan Dataran Syahbandar dan terdapat beberapa tempat yang menjadi tumpuan utama pelancong-pelancong dari luar untuk datang ke Negeri Terengganu. Di antaranya ialah Istana Maziah, Bukit Puteri, Bazaar Warisan dan Pasar Payang. Anda akan rugi jika tidak melawat kesemua tempat-tempat ini jika anda sudah sampai ke KT Bowl Astaka.

Entri 11 : Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin


Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan satu lambang mercu kejayaan Negeri Terengganu Darul Iman. Stadium yang terletak di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak ini telah menyaksikan kejayaan demi kejayaan bagi atlit anak-anak Tere
ngganu yang berjaya mengharumkan nama negeri semasa temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2008. Pada tahun 2008, Negeri Terengganu ialah tuan rumah buat julung kalinya.

Lihat betapa cantik struktur binaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Kompleks Sukan Gong Badak

Pada asalnya, Kompleks Sukan Gong Badak telah dilengkapi serba lengkap dengan stadium berbumbung, asrama, pusat latihan, trek olahraga dan pelbagai k
emudahan sukan bertaraf antarabangsa. Setiap hari, ada sahaja permintaan dari pihak luar untuk menganjurkan kejohanan sukan di kompleks ini.

Tetapi disebabkan berlakunya tragedi stadium runtuh pada 2 hb Jun 20
09, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak dapat digunakan lagi buat masa sekarang dan proses siasatan masih lagi berjalan.....

Selepas tragedi berlaku......

Lagi gambar tragedi......

Jangan bimbang lagi...kerana entri seterusnya akan menyusul. Sila baca lagi....

Sabtu, April 24, 2010

Entri 10 : Kenali Sultan Terengganu


P
enulis ingin mengajak anda semua mengenali siapakah dia Sultan Terengganu yang pertama memerintah Negeri ini pada zaman pemerintahan Kerajaan Melayu dahulu dan siapa Sultan yang memerintah Negeri Terengganu sekarang.

Sultan Zainal Abidin 111

Berdasarkan petikan dari Ulama Nusantara....

Sultan Zainal Abidin III, iaitu Sultan Terengganu yang pertama, meman
g diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya.

Ada dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.


Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu.

Lagi mengenai Sultan Zainal Abidin 111....

Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (dilahirkan pada 22 Januari 1962) merupakan Sultan Terengganu yang ke-16.

Baginda juga dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, iaitu sebagai Ketua Perlembagaan Malaysia mulai 13 Disember 2006 sehingga sekarang.

Baginda telah dianugerahkan Putera Mahkota Negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979, dan kemudiannya di lantik sebagai pemangku Sultan Terengganu daripada 20 Oktober 1990 hingga 08 November 1990.


Baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin disayangi oleh semua rakyat Baginda di Negeri Terengganu di atas pemerintahan beliau yang adil dan saksama. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat-Nya ke atas Baginda sekeluarga...

Maklumat lanjut di sini.

Entri 9 : Bagaimana Terengganu Mendapat Namanya?


Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan asal usul nama Negeri Terengganu Darul Iman. Ada pendapat yang mengatakan bahawa nama "Terengganu" itu dikaitkan dengan tiga perkataan yang seakan-akan sama dengan nama Terengganu iaitu :

1.) "Terangnya ganu"

2.) "Taring anu"

3.) "Terangan nu"

Kisah asal nama Negeri Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu (iaitu dari Negeri Kelantan dan Negeri Pahang) dan ada juga yang melibatkan penduduk Negeri Terengganu sendiri.

Kisah Pertama :

Perkataan "Terangnya ganu" ini dikatakan dikaitkan dengan peristiwa beberapa orang pelajar dari Negeri Kelantan yang telah tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu untuk melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan "Terang sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Negeri Kelantan, mereka menyatakan di negeri jiran sungguh “terang ganunya".

Kisah Kedua :

Sementara itu perkataan "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang ke-sembilan, iaitu Baginda Omar (1839 – 1876). Sebelum wujud nama Negeri Terengganu, satu rombongan dari Negeri Pahang telah datang memburu di kawasan hulu.

Apabila mereka tiba di satu tempat (kini dikenali dengan nama Sungai Terengganu Mati), salah seorang daripada rombongan itu telah terjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, ini taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan itu lah "Taring anu" kerana ia terlupa nama taring tersebut.

Ada di kalangan mereka di dalam rombongan itu telah dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanyakan tempat rusa itu diburu. Mereka menyatakan mereka berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila mereka membawa pulang kayu gaharu dan apabila ditanya tempatnya, mereka menyatakan juga di “Taring anu". Lama kelamaan tempat tersebut dikenali dengan nama Terengganu.

Kisah Ketiga :

Ada juga kisah lain yang mengaitkan nama Negeri Terengganu dengan sebatang taring.

Pertamanya kisah “Taring anu" yang berlaku di tempat lain (bukan di hulu). Kisah ini menyatakan bahawa "Taring anu" berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah yang dijumpai di sebuah pulau (kini dikenali sebagai Pulau Duyung) berhampiran dengan Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja "taring anu tuanku". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu dan
kemudiannya menjadi Kuala Sungai Terengganu.

Keduanya sebuah kitab lagi mengaitkannya dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah tempat pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan.

Dipercayai pada zaman silam sudah terdapat penduduk yang tinggal di sini. Mereka berulang-alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke "Terangan ni" atau "Terengan nu".

Dengan itu lama kelamaan muncullah nama Negeri Terengganu.

Menarik juga kisah nama Negeri Terengganu Darul Iman ini kan?

Jumaat, April 23, 2010

Entri 8 : Pantai Tok Jembal


Di pagi hari yang hening dan mendamaikan..Berjalan ke pantai memang menyeronokkan.

Berjalan kaki ke pantai merupakan salah satu aktiviti penulis di setiap kali ada kelapangan waktu. Bersama rakan-rakan dari asrama UDM Kampus Kusza, pastinya akan menuju ke Pantai Tok Jembal yang paling terdekat di situ. Dengan berbekalkan roti canai dan bungkusan air yang dibeli dari kedai berdekatan, memang seronok bersarapan beramai-ramai sambil menghadap cahaya matahari pantai....Terasa segar segala-galanya


Terpegun tak? Subhanallah memang cantik Pantai Tok Jembal.

Gambar ekslusif dari kamera hak milik rakan penulis.

Ikan yang dijumpai hampir nyawa-nyawa ikan. Oksigen-oksigen!!

Dari jauh penulis sempat merakamkan gambar kapal terbang di udara. Anda nampak tak?




Berlatar belakangkan pelajar-pelajar UMT yang sedang mandi-manda.

Bagi anda yang ingin melalui jalan yang paling senang untuk datang ke Pantai Tok Jembal adalah daripada UDM Kampus Kusza, anda hanya perlu mengambil jalan lurus terus ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dan daripada UMT, teruskan perjalanan sehingga anda berjumpa dengan satu simpang ke kiri arah jalan ke Pantai Tok Jembal.

Seterusnya, anda akan bertemu dengan Kompleks Asrama pelajar-pelajar UMT. Jangan berhenti lagi di sini. teruskan perjalanan sehingga anda akan dapat melihat Pantai Tok Jembal melambai-lambai ke arah anda. Hehe.


Entri 7 : Kedudukan Geografi Dan Penduduk


"Terengganu.....Negeriku

Tanah Berdaulat. Penuh Semangat
Semua Impian Lamaku Simpan
Pastiku Jadikan Ia Kenyatan

Akan Ku Melangkah Dengan Semangat Kental Di Hati
Takkan Ku Mengalah Tunaikan Janji Yang Terpatri
Terengganu Maju...
Impianku...."

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ibu Negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu.

Negeri ini terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat laut ia bersempadan dengan Negeri Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula ia bersempadan dengan Negeri Pahang.

Keluasan negeri Terengganu sekarang dianggarkan kira-kira 1,295,638.3 hektar ataupun 1.295,512.1 hektar persegi. Jaluran pantainya turut menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman).

Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu iaitu daerah Kuala Terengganu, daerah Kemaman, daerah Kemasik, daerah Paka, daerah Dungun, daerah Marang, daerah Hulu Terengganu, daerah Besut dan daerah Setiu.

Tetapi daerah-daerah ini telah dikurangkan kepada enam daerah sahaja iaitu daerah Kuala Terengganu, daerah Kemaman, daerah Dungun, daerah Marang, daerah Hulu Terengganu dan daerah Besut. Kemudiannya pada 1 Januari 1985, sebuah daerah Setiu telah dibentuk dan menjadikan kesemuanya ada tujuh daerah di negeri Terengganu.

Setiap daerah ini di tadbir oleh Pegawai Daerah. Keluasan setiap daerah tersebut iaitu daerah Kuala Terengganu (60,654.3 hektar), daerah Kemaman (253,559.9 hektar), daerah Dungun (273,503.1 hektar), daerah Marang (66,654.3 hektar), daerah Hulu Terengganu (387,462.6 hektar), daerah Setiu (130,436.3 hektar) dan daerah Besut (123,367.8 hektar).

Penduduk Terengganu telah bertambah dari setahun ke setahun.
Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang.
Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang.
Pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942.
Pada tahun 1963 berjumlah 339.816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang.

Jumlah seterusnya meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang.

Pada tahun 1998 penduduk Terengganu sudah mencapai angka hampir 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India.

Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan tetapi hasil petrolium turut menguatkan lagi ekonomi negeri dengan Petronas yang berpangkalan di Kerteh, Kemaman menjadi tarikan utama pelabur-pelabur asing di dalam industri petrolium ini.

P/S : Berminat mengenali Negeri Terengganu. Baca lagi....

Entri 6 : Jata Negeri Terengganu


Ini merupakan jata rasmi bagi Negeri Terengganu Darul Iman. Jata yang begitu unik sekali. Memang tiada tandingannya jika dibandingkan dengan jata-jata negeri lain di Malaysia. Penulis menzahirkan rasa bangga yang amat kerana dilahirkan di negeri yang bertuah ini. Anda semua pasti ingin tahu mengenai jata negeri ini?

Menurut maklumat yang terdapat di Muzium Negeri Terengganu,

Jata atau Lambang Kebesaran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman yang ada sekarang telah dicipta sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III dan merupakan hasil ciptaan beberapa orang pembesar negeri ini.

Menurut cerita orang yang telah melukis Jata tersebut iaitu Encik Mohamad Bin Abdul Rahim yang merupakan saudara kepada Dato’ Nara Wangsa (lebih dikenali dengan nama Dato’ Mata-Mata), hasil ciptaan Encik Mohamad ini telah disahkan di dalam Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kegunaan rasmi bermula tahun 1932.

Kalau dapat dilihat secara jelas Jata Negeri, semua alat-alat ini dilingkungi oleh garisan bulat dan di dalamnya terdapat tulisan yang berhuruf Melayu dengan tiga patah perkataan di mana setiap huruf Melayu nya bercerai-cerai hurufnya iaitu "Jawatan Kerajaan Terengganu".

Pada masa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dua lagi alat kebesaran iaitu pedang dan cokmar ditambah dan perkataan "Jawatan Kerajaan" dihapuskan manakala perkataan "Terengganu" dikekalkan. Maka jadilah ia Jata Negeri Terengganu sehinggalah sekarang masih dikekalkan.

Tidak dapat dipastikan kenapa perkara ini berlaku. Kenapa ye?

Entri 5 : Gong Badak


Kebiasaannya bagi orang Terengganu yang sudah biasa datang ke sini, sudah semestinya tahu benar dengan jalan yang digunakan untuk ke Gong Badak. Termasuk diri penulis sendiri, walaupun sudah hampir lima tahun menuntut ilmu di sini, tetapi kadang-kadang masih tidak faham sepenuhnya lagi dengan kawasan di sini.

Cuma apa yang penulis tahu, insyaAllah akan diberitahu dari semasa ke semasa.


Pertama sekali, cara yang paling senang adalah dengan menggunakan pengangkutan awam seperti bas bandar (bas kayu), bas awam dan juga teksi. Ketiga-tiga pengangkutan ini biasa boleh dilihat di kawasan Stesen Bas Kuala Terengganu (atau penulis biasa menyebut Stesen Bas MPKT).

Jangan berasa ragu-ragu untuk menggunakan pengangkutan-pengangkutan ini, kerana anda memang akan selamat sampai ke mana-mana destinasi yang ingin dituju di Gong Badak. Jika anda hendak pergi ke UDM Kampus Kusza ataupun UMT, anda hanya perlu memberitahu kepada pemandu teksi atau bas yang dinaiki.

Tambang yang biasa dikenakan adalah RM2.00 untuk pengangkutan bas bandar (bas kayu) dan bas awam sementara untuk pengangkutan teksi ialah RM20.00 untuk satu teksi penuh dengan kadar penumpang 4 orang maksima.


Cara kedua, pastinya dengan menggunakan kenderaan sendiri. Hanya dengan melihat papan tanda yang banyak terdapat di tepi jalan, anda akan sampai juga ke sini. Jalan raya di Negeri Terengganu rata-rata tidak memeningkan kepala pelancong untuk mengenal pasti tempat yang hendak dituju. Jikalau dari Stesen bas MPKT, anda hanya perlu mengambil arah jalan yang lurus dan melihat papan tanda juga akan sampai ke Gong Badak dengan selamat.

Jom jalan-jalan ke Gong Badak, tempat tumpuan anak-anak Terengganu menuntut ilmu.

Khamis, April 22, 2010

Entri 4 : Peta Gong Badak


Peta sebahagian kecil kawasan Gong Badak.

Rasanya anda dapat melihat Masjid Kusza (sekarang dikenali dengan nama Masjid UDM) di dalam peta gong badak ini. Oh ya, jika anda yang ingin mengenali UDM Kampus Kusza, di sini lah terletaknya tempat ini yang merupakan salah satu institusi awam yang menjadi pilihan bagi anak-anak Terengganu melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

Di sekitarnya juga terdapat beberapa kampung yang juga tidak kurang menariknya untuk dilawati. Di antaranya Kampung Telaga Batin, Kampung Pak Tijah, Kampung Tok Jembal, Kampung Gong Badak, Kampung Kubang Badak, Kampung Gelam, Kampung Gong Datok, Kampung Pak Tuyu, Taman Desa Murni dan juga Kampung Gong Pak Jin.

Ada banyak lagi kampung-kampung lain di kawasan Gong Badak ini. Kalau anda mahu tahu lebih lanjut lagi, kena lah datang menjenguk ke mari.

Jom kenali Negeri Terengganu Darul Iman.

Entri 3 : UDM Kampus Kusza


Penulis masih lagi bergelar seorang pelajar sepenuh masa. IPTA yang menjadi pilihan penulis untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains
Komputer (Pembangunan Perisian) ialah Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus Kusza. Sebelum belajar di peringkat ijazah sarjana muda sekarang, penulis juga merupakan pelajar Diploma Teknologi Maklumat di UDM Kampus Kusza.

Ini adalah logo UDM. Cantik, tertarik memang menggamit hati untuk ke sini

Kenapa masih lagi berada di sini? Tidak bosan ke? Tidak sama sekali. Penulis suka akan suasana di UDM berbanding di IPTA-IPTA lain. Bukan disebabkan tidak berminat hendak ke negeri lain, tetapi mungkin sudah rezeki penulis untuk menimba ilmu dan pengalaman di negeri sendiri.

Jadi. Kita rebut sajalah peluang yang sudah ada di depan mata kan...

Secara umumya, UDM mempunyai 3 kampus yang terletak berjauhan di antara satu sama lain. UDM Kampus Besut merupakan kampus utama. Di sinilah akan ditempatkan pelajar-pelajar di dalam bidang Sains dan juga Teknologi Maklumat.

- UDM Kampus Kota -

UDM Kampus Kota terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu dan berhadapan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah. Di sini pula ditempatkan pelajar-pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. Untuk jangka masa sekarang hingga dua tahun lagi, semua pelajar-pelajar UDM ditempatkan di UDM Kampus Kusza sementara Kampus Besut masih lagi dalam proses pembinaan.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai Universiti Darul Iman (UDM) Malaysia? Sila klik UDM

Untuk makluman tambahan juga, UDM Kampus Kusza terletak di kawasan Gong Badak - di mana di sini berpusatnya beberapa tempat menuntut ilmu untuk anak-anak terengganu khususnya. Di antaranya termasuklah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Perguruan Sultan Mizan (dahulu dikenali sebagai Maktab Perguruan Batu Rakit), SMK Teknik Lapangan Terbang, SMK Teknik Kompleks Gong Badak, SK Gong Badak dan ada beberapa lagi....



Di antara permandangan di dalam UDM Kampus Kusza. Mengagumkan..


Salah satu dekorasi bunga yang menarik yang berada di persekitaran UDM Kampus Kusza.


Oh ya penulis suka memberitahu kepada anda bahawa
UDM Kampus Kusza sudah dikenali dengan nama Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) Kampus Gong Badak setelah diwartakan di dalam perlembagaan universiti pada bulan Mei 2010.

Kalau nak tahu lebih lagi, sila lah datang ke UniSZA Kampus Gong Badak ini.

Entri 2 : Peta Negeri


Pengenalan pertama mengenai Negeri Terengganu - Bandaraya Warisan Pesisir Air ini sudah semestinya Peta Negeri. Fungsi peta negeri untuk setiap pelancong yang ingin berkunjung amatlah penting. Kalau tidak ada peta, ke mana lagi hendak dirujuk kan? Kalau tersesat, sekurang-kurangnya anda boleh merujuk pada peta yang sedia ada di bawah ini kan. Ingin mengetahui daerah-daerah yang terdapat di Negeri Terengganu, sila klik Peta Negeri.

Peta keseluruhan Negeri Terengganu.

Jika anda berminat ingin melancong di dalam negara sahaja, pilih lah Negeri Terengganu. Kenapa ye? Tidak kenal maka tidak cinta. Datang dahulu ke sini. Bawalah keluarga tercinta, orang tersayang, sanak-saudara, dan rakan-rakan anda ke tempat-tempat menarik di sekitar Negeri Terengganu. Boleh juga merujuk pada peta yang disediakan. Jangan risau, anda tidak akan tersesat jauh. Tersesat sedikit, boleh bertanya kepada siapa yang diperlukan. Bak kata pepatah "malu bertanya sesat jalan".

Selamat mengenali Negeri Terengganu Darul Iman - Bandaraya warisan pesisir air.

"Entri. 1 : SALAM SATU TERENGGANU"


Assalamualaikum W.B.T....

Salam Satu Terengganu penulis ucapkan kepada semua warga Negeri Terengganu Darul Iman. Kepada semua rakyat "Guane Gamok Orang Ganu Kiter". Apa khabar hari ini? Penulis mendoakan kesejahteraan sekalian yang membaca blog ini.

Blog ini dinamai terengganucunsokmo.blogspot.com. Sedikit pengenalan mengenai blog ini di mana blog ini hanya menceritakan perkara-perkara berkaitan Negeri Terengganu Darul Iman sahaja. Tujuan utama blog ini dibina adalah bertujuan untuk mempromosikan keindahan negeri Pantai Timur ini. Satu-satunya negeri yang dicipta oleh-Nya begitu unik sekali. Begitu cantik dan mendamaikan hati penulis sendiri yang merupakan anak jati negeri Terengganu.

Untuk makluman pembaca, blog ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Berita-berita akan dimuatkan secara berturutan semestinya. Segala komen boleh diutarakan di blog ini. Penulis akan sentiasa peka dengan komen-komen yang membina dari semua pembaca.

Terima kasih di atas kerjasama semua.